Treeletrik T-90, Kualiti dan Integriti

Treeletrik T-90, Kualiti dan Integriti

Pengangkutan yang bersih, selamat dan murah merupakan misi setiap kenderaan Treeletrik dengan reka bentuk yang menginspirasikan pengalaman menunggang luar biasa. Andai pernah terserempak dengan skuter tanpa bunyi, tanpa ekzos, harap jangan terkejut hingga terbeliak biji mata. Rangkaian motosikal eletrik dipasang di Malaysia dan dikenali sebagai Treeletrik Eco-Bikes. Tree Movement (M) Sdn Bhd berpangkalan di Balakong mempunyai kemudahan pengeluaran kapasiti 50,000 unit motosikal eletrik setahun.

Treeletrik E-Bike T-90, merupakan salah satu model Treeletrik terawal diperkenalkan. Empat pilihan Jalur (Stripe) dengan dua warna, putih dan hitam serta penawaran 4 Jalur (Stripe) iaitu White Red, White Blue, Black Orange dan Black Green. Motosikal yang berkategori sederhana berat iaitu 115kg bagi versi bateri Lithium dan 175kg versi bateri Lead Asid. Saya berpeluang menunggang uji Treeletrik T-90 bagi tempoh yang singkat dan jarak yang dekat. Sedikit penerangan ringkas dari kakitangan Tree Movement (M) Sdn Bhd perihal pengendalian model T-90 sebelum memulakan ujian.

Tidak dinafikan, sesiapa sahaja yang pertama kali menunggang motosikal eletrik akan bertanya sendiri, sudah hidup atau tidak enjin motosikal tersebut? Ini kerana tiada sebarang bunyi yang didengari sebelum menunggang. Tiada kepulan asap yang keluar. Paling seronok saya tidak merasa satu tarikan apabila pendikit dipulas. Lembut dan nyaman pergerakannya.

Fokus topik ini suatu kemestian. Perbezaan menunggang motosikal menggunakan kuasa enjin pemerhatian kita pada penunjuk bahan bakar(minyak). Namun pada motosikal eletrik terdapat dua paparan terhidang di meter digital, Voltan Eletrik dan digital meter penggunaan kuasa eletrik. Fungsinya sama seperti motosikal yang menggunakan minyak. Segala informasi terhidang demi memudahkan penunggang merancang jarak perjalanan berbekalkan kuasa yang ada.

Sistem keselamatan sama sahaja seperti motosikal berenjin. Treeletrik T-90 dibekalkan dengan dua cakera (disc brake) depan dan belakang. Berapa kemampuan pecutannya? Soalan cepumas sebegitu sudah lali setiap kali menunggang uji motosikal. Setakat yang saya uji 80km/j selamba aje. Apa yang dikhabarkan kepada saya, model tersebut mampu bergerak 110km dengan kelajuan maksimum 95-100km/j. Bagi versi bateri Lithium 5-6 jam sudah cukup untuk dicaj sepenuhnya, namun bagi versi bateri Lead Asid 6-7 jam paling maksima untuk caj sepenuhnya dengan kelajuan maksimum sekitar 80km/j serta boleh dgunakan sehingga 85km – 100km.

Apa istimewa Model T-90? Anda mungkin terkejut termasuk saya. Jimat, itu yang jelas dan nyata. T-90 tidak memerlukan penyelenggaran yang berkala. Tidak perlu fikirkan tentang minyak petrol, palam pencucuh (spark plug), minyak enjin, rantai,ekzos. Hitung sendiri berapa banyak selamatnya duit poket kita. Apa yang perlu kita titikberatkan ialah bateri punca kuasa utama dalam mengerakkan motosikal eletrik ini.

Kesimpulannya model T-90 ini bersifat mesra alam, mengurangkan pencemaran sekali gus membebaskan karbon. Jimat duit anda dari kos mengisi minyak serta penyelenggaran. Mudah diuruskan dengan sistem pacuan terus atau ringkasnya pulas pendikit (throttle) jalan terus. Pengecas bateri mudah alih serta pilihan di tangan anda dalam memilih bateri yang berkualiti dan jangka hayat yang panjang.

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar 52