Bercakap tentang tenaga, keseronokan dan juga moden, perkara pertama yang melintas dalam fikiran tentunya golongan remaja dan belia. Kuasa beli golongan ini mungkin tidak besar tetapi sedikit sebanyak mereka mudah mempengaruhi dan mampu menularkan hampir apa sahaja serta menjadi trend dalam sekelip mata. Justeru, ramai pengeluar tanpa mengira bidang industri apa sekali pun sentiasa mengambil kira tindak balas yang diharapkan dari golongan ini.
Super Soco menyedari kepentingan tenaga yang dibawakan oleh golongan muda-mudi ini. Syarikat subsidiari VMoto ini lebih dikenali dalam kalangan pemandu muda dengan motosikal elektrik seperti TC Max dan TC Wanderer serta skuter elektrik seperti CPx dan CUmini.
Sebagaimana kita semua sedia maklum, trend untuk motosikal menjadi semakin pendek dan singkat, jenama China ini harus meneruskan gaya yang lebih segar dan dalam masa yang sama, tampil moden. Cara yang terbaik untuk mendapatkan sumber idea-idea baharu ini, di manakah tempat yang paling sesuai kalau bukan di kolej rekaan terbaik?
Ya, itu yang dilakukan Super Soco dan bekerjasama dengan bahagian Rekaan Automotif dan Pengangkutan (Automotive and Transport Design) di Coventry College England. Projek kolaborasi ini memberikan tugas kepada para penuntut untuk mencipta rekaan baharu berdasarkan skuter popular Cpx.
Diketuai oleh Dr. Shaun Hutchinson dan Aamer Mahmud, para penuntut menyerahkan rekaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Super Soco, Richard Jordan dan Pengurus Operasi Senior, Daniel Frost. Selepas meneliti kesemua draft yang diserahkan, Super Soco telah memilih Vivek Marathe sebagai pemenang tempat pertama, diikuti Samuel Potts dan Sandeep Vasireddy di tempat kedua dan ketiga.
Projek Tude yang melakarkan kemenangan untuk Vivek Marathe ini merupakan gabungan kemampatan serta bersifat keperibadian, mampu menarik generasi muda yang mempunyai ciri-ciri terbiodegradasi serta simpanan yang bagus. Manakala projek Samuel Potts, meninggalkan alam sekitar kepada trenkuasa elektrik dengan rekaannya iaitu Fun N Go. Beliau memberikan tumpuan terhadap mereka bentuk sekitar casis CPx.
Menurut Potts, beliau cuba mereka cipta sesuatu yang menyeronokkan dan diilhamkan dari sains-fiksyen dengan gaya yang menarik. Akhirnya, beliau berjaya menyudahkan rekaannya dengan penutup bateri yang ringkas, fairing hadapan dan juga tempat duduk yang seolah-oleh terapung yang diharapkan dapat mencetuskan keterujaan serta keseronokan yang diidamkannya.
Begitu juga dengan Sandeep Vasireddy menggunakan pendekatan yang sama seperti Pott tetapi mengambil inspirasi dari masa lalu dengan konsep EN3 (Electric Neutral 3KWh) rekaannya. Projek ini dipersembahkan sebagai sebuah cafe racer di masa hadapan.
Super Soco berbangga kerana dapat bekerjasama dengan generasi seterusnya dari Automotive and Transport Design yang pastinya bakal menjadi pelapis sedikit masa lagi untuk industri pengangkutan.
Walaupun rekaan Coventry dan Soco Moto berjaya menolak sempadan dalam kosmetik skuter yang terkini, jenama ini belum tentu mempunyai perancangan untuk menggunakan konsep radikal. Namun, ia sudah cukup memadai apabila melihat hala tujuan pereka untuk generasi akan datang.
Sumber : Rideapart