Tidak Terhad Kepada Jenama Tertentu!

Biarpun sedikit tetapi bermakna adalah ungkapan yang tepat untuk menggambarkan sebuah kelab permotoran yang dinaungi saudara Asri Said. Kelab yang dimaksudkan adalah Voodoo Scoot Clan yang ditubuhkan pada 13 Februari 2010.

Sejak penubuhannya sehinggalah hari ini, seramai 38 pemilik skuter telah menjadi ahli dan bilangannya bertambah dari hari ke hari. Sebagaimana beberapa kelab motor lain, kelab ini juga tidak mengehadkan penyertaan terhadap satu-satu jenama yang khusus.

Antara model skuter yang telah pun menjadi ahli kelab ini termasuklah Yamaha Ego-S, Elegan dan juga SYM. Voodoo Scoot Clan seringkali menganjurkan pelbagai aktiviti untuk ahli-ahlinya seperti berkonvoi dan bersantai. Ditaja Voodoo Sticker Grafix, kelab ini juga sering menghabiskan masa bersama-sama dengan berkelah.