Bagi memenuhi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (Corporate Social Responsibility) yang menghubungkan syarikat korporat dengan masyarakat awam, KYB sering menganjurkan program amal kebajikan termasuk sambutan Hari Raya bersama Anak-anak Yatim dari Pertubuhan Anak Yatim Miskin Kuala Langat (Rumah Penyayang). Seramai 30 orang sukarelawan KYB berkumpul terlebih dahulu di KYB-UMW Malaysia Sdn Bhd (WP) sebelum bergerak ke Jusco Bukit Tinggi sekitar pukul 2.30 petang dengan menggunakan bas.
Sebaik tiba di Jusco Bukit Tinggi, para peserta berkumpul sebelum bergerak dan meneruskan program dengan aktiviti membeli belah untuk persiapan Hari Raya. Perbelanjaan yang diperuntukan untuk anak-anak yatim ini berjumlah RM250 setiap seorang. Sekitar pukul 5.00 petang, para peserta berkumpul semula dan bergerak menuju Hotel Impian di Morib untuk aturcara seterusnya. Program diteruskan dengan penyerahan sumbangan dari KYB berjumlah RM10,000.00 kepada Pertubuhan Rumah Anak Yatim Miskin Kuala Langat (Rumah Penyayang). Ini diikuti dengan sesi bergambar sebelum berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah.