Throwback : NVOG Sumatra Rides 2019

Sebanyak 15 orang ahli NVOG telah terlibat dalam ekspedisi NVOG Sumatra Rides 2019 yang berlangsung dari 28 November sehingga 7 Disember 2019 yang lalu. Perjalanan melibatkan beberapa destinasi termasuk Medan, Lhoksumawe, Banda Aceh, Pulau Sabang, Meulaboh, Tapak Tuan, Sidikalang dan Pulau Somosir. Para peserta terlebih dahulu di Pulau Pinang sebelum berlepas ke Medan.

Hari Pertama: Medan – Lhoksumawe
Ekspedisi kelab permotoran NVOG kali ini menjelajah seluruh Aceh, di mana perjalanan telah dimulakan dari Medan tepat pada pukul 9 pagi. Trafik di kota Medan agak sibuk sekali seperti di Pulau Pinang. Setelah menempuh perjalanan sejauh 188KM, para peserta konvoi singgah di Pekan Langsa Aceh.

Kota Langsa adalah pintu masuk ke Aceh dan untuk pengetahuan, Langsa adalah sebuah kota kecil yang terletak di penghujung Province Aceh. Awalnya, Langsa termasuk sebahagian Aceh Timur, namun pada tanggal 12 Jun 2001 sesuai dengan Peraturan dan Undang-Undang Pemerintah ditetapkan bahawa Langsa berstatus menjadi Kota Langsa.

Meskipun Kota Langsa kecil tapi ia terkenal dengan sejarah masa penjajahan dulu yang ditandai dengan beberapa peninggalan bangunan serta ornamen sejarah dan wisata. Selepas itu, konvoi meneruskan perjalanan ke Lhoksumawe dari Langsa perjalanan ke Lhoksumawe yang dianggarkan sejauh 177KM. Para peserta tiba pada pukul 8 malam, menginap di hotel Singapura dan makan malam di kedai berdekatan. Perjalanan pada hari ini agak memenatkan kerana perjalanan yang sangat jauh dan sibuk di sepanjang laluan.

Hari Kedua: Lhoksumawe – Banda Aceh
Hari kedua dalam perjalanan ke Banda Aceh, para peserta melepasi Makam Syahid Lapan. Dinamakan makam Syahid Lapan kerana di situ dimakamkan delapan pejuang yang gugur melawan Belanda. Mereka adalah Tgk Panglima Prang Rayeuk Jurong Binje, Tgk Muda Lem Mamplam, Tgk Nyak Balee Ishak Blang Mane, Tgk Meureudu Tambue, Tgk Balee Tambue, Apa Syehk Lancok Mamplam, Muhammad Sabi Blang Mane, dan Nyak Ben Matang Salem Blang Teumulek.

Perjalanan diteruskan ke Pidie Jaya Aceh. Dari Makam Syahid Lapan ke Pidie Jaya perjalanan mengambil hanya 10-15 minit. Para peserta tiba di Pidie Jaya kawasan yang dilanda gempa bumi pada 7 Disember 2016. Konvoi terserempak dengan kumpulan bikers yang datang membantu salah seorang peserta di mana motosikalnya mengalami kerosakan. Seronok melihat bikers di sini mesra dan sudi menghulurkan bantuan.

Selepas itu, perjalanan diteruskan ke Banda Aceh. Perjalanan santai yang begitu menyeronokkan dengan jalan dan udara yang nyaman melalui landsakp kehijauan pemandangan yang segar. Dengan jalan selekoh di kawasan kampung dan pemandangan kebun yang menghijau. Konvoi tiba di Banda Aceh tepat jam 4 petang.

Sebaik tiba, konvoi terus ke destinasi utama, Aceh Tsunami Museum. Tidak lengkap kalau datang ke Aceh tapi tidak melawat Aceh Tsunami Museum. Konvoi kemudiannya berangkat ke Situs Tsunami PTLD Apung, kapal terapung ketika Tsunami dahsyat melanda Aceh pada 2004. Di atas kapal ini anda dapat melihat pemandangan Banda Aceh yang cantik. Menjelang senja, konvoi bergerak menuju hotel untuk bermalam. Selepas check-in, para peserta keluar berjalan-jalan sekitar Banda Aceh dan singgah di Masjid Baiturrahman untuk sesi bergambar.

Hari Ketiga: Banda Aceh – Pulau Sabang
Para peserta bergerak sewal 6 pagi dan perjalanan tidau jauh, cuma feri ke Pulau Sabang yang terhad. Hanya 10 minit perjalanan dari Banda Aceh ke pelabuhan. Para peserta terpaksa keluar awal pergi ke pelabuhan untuk mengambil tiket. Semasa parking menunggu feri, pastikan group parking motor dekat dan jangan ada ruang kerana semasa feri tiba, semua orang berebut-rebut. Jika tertinggal maka feri seterusnya lagi 2 jam.

Para peserta duduk di bahagian atas sekali. Perjalanan feri ke Pulau Sabang mengambil masa satu jam setengah. Semasa pulau Sabang, konvoi terserempak dengan kumpulan kecil ikan lumba-lumba yang berkeliaran di tepi feri sambil menukar-nukar posisi. Sebaik tiba di Pulau Sabang, para peserta meneruskan perjalanan ke tempat makan untuk mengalas perut sebelum check-in hotel. Sebelah petang, konvoi bergerak ke destinasi 0 Kilometer Indonesia. Dalam perjalanan, para peserta singgah di tempat yang menjadi tumpuan para pengunjung untuk mandi serta menyelam.

Hari Keempat: Pulau Sabang – Meulaboh
Para peserta bergerak awal pagi menuju Feri Port kerana feri terhad. Anda perlu menunggu beberapa jam lagi untuk feri seterunya sekiranya tertinggal. Seawal 5 pagi, para peserta sudah mula beratur menunggu feri pukul 6.30 pagi. Perjalanan ke Meulaboh begitu mengasyikkan. Pemandangan bukit bukau menghijau, laluan mendaki bukit dan pemandangan sebelah kanan ialah lautan Hindi. Mata tidak berhenti menikmati panorama yang begitu indah sekali serta menakjubkan. Sesekali para peserta berhenti untuk bergambar dan berehat.

Konvoi berhenti minum di atas bukit di Puncak Geurute Aceh Jaya sambil menikmati makan minum di sini, di sebelah kanan anda dapat melihat pemandangan laut yang cantik dan terdapat pulau kecil. Sebelah kiri pula, bukit bukau serta udara segar dan nyaman. Gunung Geurutee kerap menjadi tempat persinggahan bagi mereka yang melakukan perjalanan jauh. Namun ada juga yang sengaja datang untuk menikmati pemandangan laut dari pinggir-pinggir tebing. Mereka menikmati keindahan panorama gunung ini sambil minum kopi Aceh. Di sepanjang kawasan gunung ini memang banyak berdiri warung kopi yang menyediakan kopi khas Aceh. Selain menjaja kopi, warung-warung ini juga menjaja makanan dengan harga yang murah.

Selepas 3 jam perjalanan dari Puncak Geurute Aceh Jaya, konvoi tiba di Meulabuh pada waktu senja dan bersolat maghrib di masjid Meulaboh sebelum bergerak ke hotel. Makan malam di kedai berhampiran dan seterusnya ke hotel untuk berehat. Esoknya, para peserta akan menempuh perjalanan seterusnya.

Hari Kelima: Meulaboh – Tapak Tuan

Cuasa yang cerah membolehkan para peserta menikmati pendangan sepanjang perjalanan dari Meulaboh menuju ke Bilang Pidie untuk berhenti rehat dan makan tengahari sebentar sebelum meneruskan perjalanan ke Tapak Tuan. Para peserta disambut bikers di Tapak Tuan yang seterusnya dibawa bersiar-siar sekitar kawasan peranginan untuk merakam gambar sekaligus ke lokasi bersejarah di mana lagenda menyebutkan itulah tapak kaki Tuan Tapa, tokoh dalam cerita legenda Aceh Selatan. Keberadaan tapak yang terletak di kaki Gunung Lampu, Tapaktuan, ini menjadi daya tarik wisatawan. Untuk berkunjung ke sana memang tidak mudah.

Pengunjung harus melewati batu karang beragam ukuran6x2,5 meter. Cerita legenda tapak kaki Tuan Tapa menjadi asal nama ibukota Kabupaten Aceh Selatan iaitu Tapak Tuan. Kota ini terletak sekitar 440 kilometer dari ibukota provinsi Aceh. Legenda Tapak Tuan menjadi cerita rakyat turun temurun dan dipercaya masyarakat di sana. Sayang, proses renovasi yang mungkin tujuannya untuk melestarikan, justeru membuatnya tidak alami lagi. Meski kini tapak tidak lagi alami tapi lokasi tersebut masih memikat hati pengunjung. Selepas itu, konvoi bergerak ke kaki bukit bersebelahan laut untuk merakam gambar matahari terbenam semasa senja.

Hari Keenam: Tapak Tuan – Sidikalang
Hari ini perjalanan agak jauh di mana para peserta melalui Kota Subulussalam, sebuah kota di provinsi Aceh di Indonesia. Kota ini dibentuk berdasarkan Undang-Undang Nomor 8 Tahun 2007. Konvoi bertolak dari Tapak Tuan dalam pukul 8 pagi. Selepas 4 jam perjalanan, konvoi singgah sarapan pagi di kedai makan sebelum bergerak menuju ke Subulussalam untuk makan tengahari. Misi hari ini adalah untuk singgah menyampaikan bantuan amal sumbangan dari NVOG & Friends di pesantren rumah tahfiz yang terletak di laluan sebelum Bandar Sidikalang.

Perjalanan yang sukar terpaksa ditempuh, di mana para peserta perlu merentasi jalan berbukit yang sedang dinaiktaraf dalam hujan lebat. Pengalaman ini tidak dapat dilupakan di mana dalam keadaan jalan yang berliku serta berlumpur, sesak dengan kenderaan terpaksa melintasi dua anak sungai merentasi jalan yang sangat menggerunkan. Para peserta tiba lewat di hotel di bandar Sidikalang dan berehat kerana perjalanan hari ini sangat mencabar.

Hari Ketujuh: Sidikalang – Pulau Samosir
Perjalanan diteruskan ke Pulau Samosi di mana berbaki lagi 100km. Yang seronoknya perjalanan hari ini, selepas Sidikalang jalan untuk ke Pulau Samosir agak teruk dengan jalan yang berlubang di sepanjang perjalanan dianggarkan lebih 50km dengan kelajuan antara 30-40 kmph. Akan tetapi, ia begitu menyeronokan kerana jalan di lereng-lereng bukit. Kalau anda tengok landskap google map, semakin hampir di Pulau Samosir anda akan dapat merasa suasana sejuk kerana semasa ke Pulau Samosir sebenarnya anda telah naik ke tanah tinggi iaitu bukit sama seperti anda ride di Cameron atau bukit Tinggi.

Perjalanan ini memang berbaloi setelah penat mengharungi jalan yang panjang dan teruk dan bila tiba di Pulau Samosir anda akan dapat melihat pemandangan yang begitu menakjubkan. Begitu indah sekali pemandangan Danau Toba dari atas Bukit. Konvoi singgah di perkampungan masyarakat batak untuk bergambar dan melihat sendiri senibina rumah mereka.

Hari Kelapan: Pulau Samosir – Berastagi – Medan
Suasana pagi di Danau Toba begitu mengujakan dengan pemandangan Tasik yang terbentang luas dan bukit bukau menghijau. Selepas bersarapan, konvoi meneruskan perjalanan ke Berastagi. Dalam perjalanan para peserta singgah di air terjun Sipiso Piso di mana saat berada di lokasi ini, jangan ragu-ragu untuk mengabadikan bergambar kenangan tersebut.

Air terjun Sipiso-piso dimasukkan dalam salah satu destinasi yang wajib dikunjungi di Sumatera. Air terjun ini memiliki ketinggian 120 meter atau sekitar 360 kaki sebelum mengalir ke Danau Toba, begitu ramai pengunjung berkunjung ke tempat ini. Perjalanan kami berbaki lagi 50KM ke Berastagi. Para peserta tiba di Berastagi pada petang dan suhu di sini seperti di Cameron atau Genting begitu sejuk sekali. Berastagi adalah kota kecil di sekitar Medan yang terletak di dataran tinggi.

Setelah berehat untuk minum petang, konvoi meneruskan perjalanan ke Medan di mana destinasi terakhir dalam siri jelajah NVOG Sumatra Rides 2019 kali ini. Suasana sesak di Medan semestinya menjadi igauan. Para peserta dibantu oleh Medan Bikers sehingga selamat sampai di Hotel Madani Medan sekaligus menamatkan misi memgembara ke seluruh Aceh berjaya.

Senarai Peserta:
1. Abg Azizan Seremban & Pillion
2. Bro Zaza
3. Nan Laksa
4. Fazrul & Farhan
5. Che Mat & Pillion
6. Cekgu Mizy & Pillion
7. Abg Zul Ipoh & Pilion
8. DK & Pillion
9. Syam Bkt Teh
10. Che Aziz
11. Abg Sofie
12. Anuar BM
13. Kamar
14. Cekgu Zamry
15. Pak Am & Pillion
16. Cekgu Bakar & Pillion
Jumlah:
16- Buah Motosikal
24- Peserta

Perkongsian : Fazrul NVOG