Throwback : Catat Rekod Tersendiri Dengan Kehadiran Melebihi 52,000 Pengunjung

Terengganu Bike Week 2018 merupakan anjuran Persatuan Gabungan Permotoran Negeri Terengganu yang dinaungi Presidennya, YAM Tengku Sri Temenggong Raja, Dato Sri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud AL Muktafi Billah Shah. Terengganu Bike Week ini turut mendapat sokongan padu dari kerajaan Negeri Terengganu, agensi-agensi kerajaan seperti PDRM, KKM, RELA, JPAM, ATM dan SUK Negeri Terengganu. Diadakan di Taman Awam Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, pelbagai aktiviti telah disediakan sepanjang TBW2018 berlangsung termasuk pameran Auto Show dan Stunt Show dari KTM.

 

Turut diadakan adalah Konvoi Muhibbah TBW 2018 yang melibatkan hampir 1000 buah motosikal, diketuai YAM Tengku Sri Temenggong Raja, Dato Sri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud AL Muktafi Billah Shah. Konvoi bergerak ke Kg Padang Kachong, Telemong untuk sesi beramah mesra bersama penduduk tempatan. Ini diikuti pertunjukkan persembahan tradisional dan makanan tradisional dihidangkan kepada bikers. Rombongan bikers juga berkesempatan menikmati jamuan makan tengahari dengan gulai kawah Ala Terengganu.

Selain itu, sumbangan turut disampaikan kepada 5 buah keluarga yang kurang berkemampuan oleh Pengerusi Persatuan Gabungan Permotoran Negeri Terengganu. Kewujudan acara yang diadakan selama 7 tahun ini menepati tujuannya untuk mengeratkan persaudaraan di kalangan bikers tempatan dan luar dan berkongsi pendapat tentang dunia permotoran. Ini dapat dilihat menerusi kehadiran bikers dari luar Terengganu yang kian bertambah dari tahun ke tahun dan pada tahun ini, TBW 2018 mencatat rekod tersendiri dengan kehadiran melebihi 52,000 pengunjung.

Kehadiran pengeluar motosikal seperti BMW, KTM, Kawasaki dan F.S Bike tidak pernah ketinggalan menyertai TBW untuk mempamerkan motor keluaran masing-masing saban tahun. Secara tidak langsung, ia membuktikan penganjuran TBW 2018 memberi pulangan kepada pembekal motosikal yang membuat pameran produk mereka. Malah, peningkatan penyertaan vendor merchandise juga dilihat sangat ketara dari tahun ke tahun. Kehadiran bikers dari Sarawak iaitu Iron Tigers dan Bikers Brunei yang pertama kali hadir merupakan satu senario yang menunjukkan TBW bukan hanya dikenali di semenanjung tetapi turut mendapat tempat di hati peminat 2 roda dari Borneo. Pertambahan bilangan bikers dari Singapura dan Thailand juga begitu membanggakan walaupun mereka terpaksa menempuhi perjalanan jauh.