Pasaran motosikal tempatan kini dihangatkan lagi dengan ketibaan Royal Enfield Himalayan Mana Black Edition bagi tahun 2026. Ditawarkan pada harga jualan RM32,700, tidak termasuk kos cukai jalan, insurans dan yuran pendaftaran. Lebih menarik, setiap pembelian motosikal Royal Enfield di Malaysia didatangkan bersama jaminan rasmi selama tiga tahun tanpa had perbatuan serta perkhidmatan bantuan tepi jalan (roadside assistance) selama tiga tahun.
Rekaan edisi khas ini mendapat inspirasi daripada Laluan Mana (Mana Pass), iaitu salah satu laluan gunung tertinggi di dunia yang boleh dilalui oleh kenderaan bermotor pada ketinggian 5,632 meter di atas paras laut. Mengangkat semangat kembara tersebut, Mana Black Edition hadir dengan skema warna Stealth Black bersama kemasan jenis matte. Model ini turut dilengkapi dengan pelbagai aksesori rasmi kilang secara standard seperti pelindung tangan Black Rally, tempat duduk Black Rally, mudguard hadapan Rally serta tubeless spoked wheels.
Nadi penggerak utama Mana Black ini dikuasakan oleh enjin Sherpa 450 silinder tunggal 452 cc sejukan cecair dengan sistem pendikit ride-by-wire. Enjin ini berupaya menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 40 hp pada 8,000 rpm dan tork puncak sekuat 40 Nm pada 5,500 rpm. Hantaran kuasa ke roda belakang disalurkan menerusi kotak gear enam kelajuan yang dilengkapi dengan sistem klac slip and assist.
Sistem suspensi jentera ini dipertanggungjawabkan kepada fork jenis upside-down berdiameter 43 mm pada bahagian hadapan, manakala bahagian belakang ditampung oleh penyerap hentak tunggal (monoshock). Kedua-dua bahagian suspensi ini menawarkan jarak pergerakan (travel) sejauh 200 mm. Aspek kawalan brek pula menggunakan disk hidraulik tunggal bersama angkup dua omboh di hadapan dan angkup omboh tunggal di belakang, serta diperkukuhkan dengan sistem brek ABS dua saluran secara standard.
Bagi padanan roda, jentera ini menggunakan rim bersaiz 21 inci di bahagian hadapan yang dibalut tayar 90/90, manakala rim belakang pula bersaiz 17 inci dengan padanan tayar 140/80. Ketinggian tempat duduknya adalah 825 mm yang boleh dilaraskan sehingga 845 mm mengikut keselesaan penunggang. Secara keseluruhannya, jentera ini mencatatkan berat sekitar 196 kg bersama kapasiti tangki bahan api seluas 17 liter.
Secara keseluruhannya, pengenalan Royal Enfield Himalayan Mana Black Edition ini menawarkan sebuah pakej jentera kembara yang bukan sahaja lengkap dengan ciri-ciri praktikal, malah tampil lebih bergaya untuk peminat aktiviti penjelajahan. Dengan pelbagai kemasan eksklusif dan jaminan komprehensif yang ditawarkan, ia pasti menjadi salah satu pilihan menarik untuk pasaran tempatan tahun ini.