Dalam era di mana harga petrol semakin meningkat dan kesesakan lalu lintas menjadi rutin harian, kehadiran skuter elektrik seperti Nerva Exe II dilihat sebagai satu penyelesaian moden yang amat praktikal sebaris dengan model-model yang kini semakin popular di Malaysia seperti Blueshark R1, Treeletrik T-70, Modenas MEV-2, dan Eclimo ES-11.
Dibangunkan di Sepanyol, model generasi kedua ini tampil lebih bergaya dan sarat dengan teknologi pintar. Sudah semestinya ia bakal menerima persaingan di pasaran tempatan, itu pun kalau dibawa masuk secara rasmi. Sebagai sebuah skuter kategori GT (Gran Turismo), Nerva Exe II dibangunkan untuk keselesaan dan ketahanan jarak jauh. Sesuai bukan sahaja untuk ulang alik ke tempat kerja, malah untuk tunggangan santai ke luar bandar pada hujung minggu.
Reka bentuknya tampil moden dengan garisan kemas dan posisi tunggangan yang selesa, menjadikan ia kombinasi yang ideal antara prestasi, kecekapan dan gaya. Dalam konteks Malaysia, ini merupakan pakej yang menarik. Tambahan pula dengan trend penunggang EV yang semakin mencari alternatif mesra alam tanpa kompromi dari segi kuasa dan rupa.
Apa yang paling menonjol tentang Exe II ialah enjin elektriknya yang menggunakan sistem penyejukan cecair, menjadikannya skuter pertama seumpamanya di pasaran. Ini adalah ciri yang belum ditawarkan oleh skuter EV popular di Malaysia seperti Blueshark R1, yang masih menggunakan sistem penyejukan udara.
Dengan kuasa berterusan 11 kW dan puncak kuasa 19 kW (bersamaan 26hp), Exe II bukan sahaja berkuasa malah stabil untuk perjalanan jauh. Keupayaannya mencapai kelajuan maksimum sehingga 130 km/j memberikan kelebihan besar berbanding kebanyakan model EV tempatan yang masih terhad kepada laluan bandar.
Dilengkapi bateri berkapasiti 7.83 kWh daripada teknologi BYD LFP Blade yang terkenal dengan ketahanan dan keselamatan, Exe II menjanjikan jangka hayat melebihi 6,000 kitaran pengecasan menjadikannya salah satu sistem bateri paling tahan lama dalam kelasnya.
Jika dibandingkan dengan skuter petrol yang memerlukan isian minyak dan servis enjin secara berkala, ini memberikan kelebihan besar kepada Exe II dari segi kos pemilikan jangka panjang. Pengecasannya juga pantas dan mudah. Hanya 2 jam untuk 80% dan sekitar 2 jam 40 minit untuk penuh, sama ada menggunakan port pengecas Type 2 awam mahupun soket rumah biasa yang pastinya dihargai oleh penunggang di Malaysia.
Bergantung kepada gaya tunggangan dan laluan harian anda, Nerva Exe II menawarkan empat mod tunggangan iaitu Eco, Normal, Sport dan Reverse yang boleh disesuaikan dengan mudah. Dalam mod Eco, ia mampu mencapai jarak sehingga 180 km, sesuai untuk perjalanan ulang-alik ke tempat kerja selama beberapa hari tanpa perlu dicas semula.
Mod Sport pula membuka kuasa penuh 19kW untuk pecutan bertenaga dan sesuai ketika memotong di lebuh raya atau mendaki jalan berbukit. Ciri Reverse yang biasanya hanya terdapat pada motosikal berkuasa tinggi, kini ditawarkan pada Exe II untuk memudahkan pergerakan keluar dari ruang parkir sempit atau laluan berbukit tanpa perlu turun menolak.
Satu lagi tarikan utama Exe II terletak pada skrin paparan LED bersaiz besar 8.8 inci yang bukan sahaja tajam dan responsif, tetapi turut menyokong ciri pintar seperti sambungan telefon pintar melalui aplikasi Carbit. Sambungan telefon pintar membolehkan anda akses terus Google Maps, mesej penting atau muzik terus melalui skrin skuter. Semua di hujung jari ketika menunggang.
Sebagai pelengkap kepada fungsi digitalnya, Exe II turut menyokong kemas kini perisian secara over-the-air (OTA), membolehkan sistem skuter ditambah baik dari semasa ke semasa tanpa perlu ke pusat servis. Sama ada menaik taraf fungsi paparan, membaiki pepijat atau menambah ciri baharu, semuanya boleh dilakukan hanya melalui sambungan internet. Ciri moden yang menepati kehendak mobiliti masa kini.
Ditawarkan pada harga sekitar €7,990 (anggaran RM41,000), Nerva Exe II diletakkan dalam segmen skuter elektrik premium yang menyasarkan penunggang yang menitikberatkan teknologi dan prestasi. Harganya jauh lebih tinggi berbanding model EV tempatan yang kebanyakannya berada di bawah RM10,000, namun apa yang ditawarkan dari segi spesifikasi teknikal, sistem bateri berkelas tinggi dan ciri pintar jelas menunjukkan ia berada dalam kelas yang tersendiri.
Walaupun belum ada pengumuman rasmi tentang kemasukan Nerva Exe II ke pasaran Malaysia, gabungan reka bentuk yang bergaya, berprestasi tinggi, bateri tahan lama dan ciri pintar menjadikannya sebuah model yang berpotensi untuk mewarnai lagi landskap skuter elektrik tempatan. Jika dibawa masuk secara rasmi, Exe II bukan sahaja bakal mencabar dominasi model sedia ada, malah membuka pilihan baharu bagi penunggang yang mahukan sesuatu yang lebih berani dan berbeza.