Dekad hari ini adalah zaman kebanjiran pelbagai jenis motosikal jenama baru yang berjaya memecahkan monopoli mainstream. Saya yang dah kenal motor dari zaman 90-an pun selalu keliru dengan jenis dan jenama motosikal hari ini yang nyata begitu banyak model. Kalau dulu kita hanya kenal Yamaha, Honda, Suzuki dan Kawasaki, pada hari ini terdapat puluhan lagi jenama bukan Jepun dan bukan Itali yang memasuki pasaran tempatan.
Pertama kali melihat motor ini pun saya tak dapat nak agak motor apa? Enjin 4 lejang, satu silinder menegak 90 darjah, kerangka separa trellis macam KTM yang pendek tapi monoshock duduk kat tepi macam Kawasaki. Apa motor ni?
Naza N5 namanya. Ia dikeluarkan oleh konglomerat automotif tempatan Kumpulan Naza dengan kerjasama rakan strategik mereka di Korea – Hyosung. Sebenarnya kerjasama Naza-Hyosung ini telah lama bermula sejak awal 2000 lagi kalau tak silap saya.
Di Korea dan negara-negara lain, model ini dikenali dengan nama EXiV GD250 dari jenama KR Motor Hyosung. Ia adalah naked bike entry level yang digunakan meluas di negara asalnya atas faktor praktikal. Praktikal dan penggunaan petrolnya cukup ekonomikal. Walaupun begitu, pengenalan oleh Naza nampak kurang memberansangkan, atas faktor ia terpaksa bersaing dengan jenama popular lain dan pada tangga harga RM13 ribu untuk 250cc, secara jujurnya, ia tidak murah.
Begitupun, ia menarik minat jejaka ini, Sem Reimy Ahmad Syarif. Minatnya yang mendalam terhadap jentera dua roda bermula sejak remaja lagi bilamana telah berjinak-jinak menunggang CAGIVA MITO EV 125cc ke Sekolah Men Bandar Baru Sri Petaling sempena SPM sebagai suntikan semangat. Motosikal kepunyaan abangnya ini menjadi pendorong kepadanya untuk terus melangkah jauh. Kebetulan, abang si Sem ni membeli Laverda 668 dan Mito 125 tadi secara automatik menjadi hakmilik mutlak beliau.
Pada tahun 2001, beliau menukar angin dengan membeli Aprilia RS250. Pada zaman ini motor buatan Itali dikatakan antara yang terbaik, futuristik dan berkuasa tinggi. Masih ingat lagi di mana Yamaha TZM dan Honda CBR merupakan pencabar terdekat.
Pada tahun 2005, Sem terpaksa berehat seketika apabila mendirikan rumahtangga. RS250 tadi dijual dan beliau membeli kereta. Anak muda kelahiran Pahang ini ternyata sepi bilamana kenderaan yang biasa ditunggangnya sudah tiada lagi. Hampir 10 tahun mendiamkan diri akhirnya Sem nekad untuk kembali kepada hobi beliau. Pada tahun 2014 beliau mengambil keputusan membeli N5 dari Naza Bikers.
Sem merasakan harganya agak berbaloi dengan spesifikasi enjin yang memenuhi citarasa. Beliau yang juga antara pemilik awal jentera ini telah cuba menjejaki kesemua pemilik awal dan berjaya mengumpulkan hampir 70 peratus dari pangkalan data senarai jualan dari pihak NAZA. Dari situ timbul idea bersama rakan-rakan lain untuk mewujudkan satu group yang diberi nama N5vers Racing Team “We Ride! We Share! We Care!” semua pemilik N5 menggelarkan diri mereka sebagai N5vers di seluruh Malaysia.
Usaha yang dibuat ini telah menarik perhatian pihak NAZA. Hasil perbincangan bersama Pengurus Jualan NAZA En Sani, pihak Naza Service Centre Sec 15 Shah Alam akan memberi Diskaun Istimewa untuk bahagian original terpilih kepada ahli N5vers.
Sem bersama N5vers, dan rakan-rakanya berjaya menganjurkan beberapa acara bersama NAZA Bike antaranya seperti NAZA Factory Visit, N5vers Ride to Fraser Hill, N5vers Ride to Cameron, N5vers Ride to Genting Highland/Bukit Tinggi/Lemang Toki, N5vers Ride to Port Dickson, N5vers Ride to Melaka (Berbuka Puasa), N5vers Ride to Kuantan (Pantai Balok Bike Week), N5vers Weekly & Monthly T.T.S, N5vers BBQ Party (Every Quarter A Year) dan beberapa sesi penggambaran N5vers di Putrajaya.
Dek kerana minat yang mendalam itu juga, Sem telah melakukan beberapa modifikasi custom terhadap N5 nya. Antaranya seperti menggantikan lampu depan dari Suzuki Belang Singapura / Thailand, kerusi Single Seat Z250SL yang telah diubahsuai cagaknya oleh Dobot Bodyworks, Side Cover Honda Dash, ekzos set Akrapovic, Splash Guard custom oleh OTTIMO Bodyworks, Sticker Body, signal belakang DIY, Handle Protapper dan Fuel Controller oleh FSW Workshop.