Alor Setar mencatat sejarah tersendiri apabila lebih 35,000 anak muda dari seluruh negara membanjiri acara Santai Anak Utara 13 (SAU13) yang berlangsung dengan penuh semangat di perkarangan Stadium Darul Aman pada 5 Julai 2025. Edisi ke-13 ini sekali lagi membuktikan bahawa program anak muda mampu menjadi pemangkin kepada semangat positif dan penyatuan generasi baharu.
Bermula dari jam 10 pagi hingga 7 malam, SAU13 bukan sekadar perhimpunan sosial atau hobi permotoran, malah menjadi wadah penting untuk membina komuniti yang lebih berwawasan. Melalui pelbagai aktiviti, peserta didorong untuk bekerjasama, menjalin rangkaian serta bertukar pandangan dalam suasana santai dan inklusif.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mohd Salleh bin Saidin, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah. Turut hadir Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Haji Abdul Ghafar bin Yahya, Pengurus Besar Kedah Tourism, Encik Zaidy Omar, bersama tokoh serta selebriti tempatan yang memeriahkan acara.
Antara acara utama yang mencuri perhatian termasuk pertandingan Muay Thai, sembang santai, pertandingan motosikal tercantik (Autoshow Motor), serta cabutan bertuah dengan hadiah lumayan. Tidak kurang hebatnya, lebih 10 buah motosikal elektrik, sebuah Yamaha Y15ZR, dan lebih 200 hadiah menarik ditawarkan kepada pengunjung bertuah.
Dengan tema “Santai Biar Sampai”, SAU13 berjaya menarik kehadiran luar biasa, membuktikan bahawa acara sebegini bukan sahaja memberi impak sosial, tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pelancongan negeri Kedah. Dari peniaga kecil hingga ke sektor logistik dan penginapan, pelbagai pihak mendapat manfaat secara langsung.
SAU13 juga menjadi antara penyumbang penting kepada kejayaan Kempen Tahun Melawat Kedah 2025. Usaha bersepadu daripada agensi pelancongan, pihak berkuasa tempatan serta sokongan pelbagai pihak swasta membuktikan potensi besar acara komuniti dalam memperkenalkan budaya, makanan dan gaya hidup rakyat Kedah kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.
Program ini turut mendapat sokongan padu daripada rakan kerjasama seperti Kedah Tourism, Petronas Sprinta dan KWSP Kedah. Sementara itu, penaja utama termasuk Afta Motor (Tobaki), Koyoko, Joo Huat Motor, Global Pacific, Iqram Jetski Langkawi, Cinsoon Auto Parts (Espada), KZR Bikers Parts & Accessories, serta Super 8 Hotel, Hotel Jannah dan Roti Suria.
Acara melabuhkan tirainya tepat jam 7 malam dengan harapan agar edisi ke-14 tahun hadapan akan terus mendapat sambutan yang lebih hebat. SAU13 bukan sahaja mengangkat suara anak muda, tetapi menjadi bukti bahawa mereka mampu digerakkan dalam landasan yang positif dan produktif.