Satu Pengalaman Manis Dan Hebat Bagi Setiap Peserta Khususnya Maju Mega Bike

Merdeka! Merdeka! Merdeka… laungan keramat setiap tahun apabila tiba tarikh 31 Ogos. Hari Kemerdekaan Malaysia yang juga dikenali sebagai Hari Kebangsaan atau Hari Merdeka disambut di seluruh negara pada 31 Ogos setiap tahun bagi menandakan negara bebas dibelenggu penjajahan sejak 1782 sehingga tahun 1957.

Hari kebangsaan merupakan peristiwa utama dan disambut secara besar-besaran dengan mengadakan perarakan warna warni, nyanyian, pertunjukan pentas, pertandingan dan pelbagai program yang diadakan di tempat-tempat ditetapkan setiap tahun.

Bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama, rakyat Malaysia sekali lagi meraikan hari penuh bersejarah dan sambutan kemerdekaan yang ke-65 ini disambut penuh meriah. Terima kasih diucapkan kepada semua kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, seluruh rakyat Malaysia dapat berkumpul bersama-sama di setiap negeri masing-masing termasuk Perarakan Hari Merdeka Peringkat Negeri Perak 2022.

Acara yang penuh meriah ini sempat dirakam oleh wakil Roadstar bersama dengan para peserta perbarisan pasukan Maju Mega Bike (MMB) turut terlibat dalam perbarisan pada tahun ini. Para peserta berkumpul di perkarangan Stadium Indera Mulia seawal pukul 6.00 pagi. Kemudian, perbarisan bergerak secara teratur dan kemas menuju ke perkarangan Dewan Bandaran Ipoh.

Bagi makluman, perarakan perbarisan kali ini disertai 95 kontinjen dan juga 6,200 orang peserta pelbagai agensi dan kerajaan tempatan, pasukan beruniform universiti awam, sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Sempena Perarakan Merdeka Negeri Perak kali ini, pasukan MMB turut sama memeriahkan barisan perarakan dengan menampilkan pelumba pasukan mereka, jentera lumba, 40 buah jentera penyokong dan juga pasukan dan pelumba Race4Fun yang turut berasal daripada negeri Perak.

Barisan ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran Perak Bikerz yang mana untuk makluman anda, merupakan sebuah komuniti penunggang motosikal yang terdiri daripada mereka yang menetap di Perak Darul Ridzuan dan juga anak-anak Perak di perantauan. Dengan kehadiran jentera yang lebih 100 buah motosikal berkuasa tinggi membuatkan suasana perarakan menjadi lebih meriah.

Setelah menyusuri laluan perarakan yang juga turut disaksikan oleh lebih 20,000 penonton, acara perarakan tamat seawal pukul 10 pagi buat Maju Mega Bike. Ia menjadi satu pengalaman manis dan hebat bagi setiap peserta dan wakil Roadstar, sempat mendengar amanat daripada pengurus pasukan MMB, Bro Harith.

Menurut beliau, bagi perancangan di masa akan datang, mereka akan cuba memberi saingan hebat dalam perlumbaan-perlumbaan yang bakal diadakan. Sehingga berjumpa lagi di perlumbaan litar akan datang.

Disediakan :
En. Bob