Sibu International Bike Week melabuhkan tirai 2022 acara permotoran di bumi Sarawak dengan cukup meriah dan berprinsip. Syabas buat penganjur Razz Chopper Malaysia, bermula dengan niat ingin mengumpulkan teman-teman permotoran sambil beriadah pada tahun 2011 memberikan impak positif sehingga berjaya mengekalkan acara penuh gemilang selama 10 tahun.
Mengikut kalendar Sibu International Bike Week, tahun 2020 merupakan sambutan ulang tahun ke-10. Namun, pandemik Covid -19 membantutkan segala perancangan. Sibu International Bike Week sememangnya acara yang ditunggu-tunggu khususnya oleh peminat dua roda di Borneo. Apatah lagi tahun 2022 merupakan sambutan ulang tahun ke-10 acara perhimpunan motosikal berprestij itu.
Menyingkap kejayaan Sibu International Bike Week sehingga mampu bertahan sehingga 10 tahun dan keabsahannya, ia boleh dilihat menerusi peningkatan pemilik serta peminat dua roda yang hadir saban tahun. Apa pula formula di sebalik kejayaan Sibu International Bike Week ini?
Menurut Abdul Razak dan isterinya Siti Khatijah (Helen), berasaskan ‘kepercayaan’ dan ‘hormat’ adalah tunggak dalam melahirkan acara yang sentiasa mendapat sambutan di luar dugaan ini. Semua pemilik motosikal atau kelab motosikal berpotensi sebagai kawan. Saban tahun seperti cendawan tumbuh, acara permotoran diadakan di seluruh pelusuk negara kita Malaysia.
“Perubahan lanskap dalam acara Bike Week di setiap tempat yang diadakan mutakhir ini sentiasa dalam pemerhatian kami,” ujar Razak.
“Pendekatan terhadap bikers secara inklusif menjadi iltizam kami. Berkonsepkan meramaikan kawan serta mendengar keluhan pengunjung menjadi faktor terdorongnya kejayaan.”
Siti Khatijah (Helen) menambah, peranan mereka berdua dalam acara Sibu International Bike Week menjadi sebutan adalah dengan membina rangkaian. Rangkaian yang dimaksudkan ialah melalui hubungan dengan presiden-presiden kelab motosikal di seluruh negara serta dari negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Filipina.
Langkah yang diatur jelas membuahkan kejayaan, idea serta pelbagai rungutan dari pengunjung sentiasa diterima dan didengari secara terbuka. Ini lah yang dikatakan pendekatan penambahbaikan terbuka.
“Menganjurkan acara Bike Week ini ibarat maraton, jika bernasib baik destinasi yang dituju terasa singkat. Namun jika terasa destinasi tersebut terlalu jauh, andai mental kita lemah maka acara ini akan berkubur,” demikian tegas Razak.
Pelbagai penambahbaikan telah dilakukan sepanjang 10 tahun penganjuran Sibu Bike Week oleh pasangan tersebut yang juga Pengasas Razz Chopper Malaysia. Ulang tahun ke-10 Sibu International Bike Week kali ini menyaksikan penambahan dua kali ganda pengunjung berbanding sebelumnya. Temubual secara rambang dengan pengunjung jelas menggambarkan majoriti yang hadir dikategorikan melepaskan kerinduan pada acara tahunan perhimpunan pemilik motosikal terbesar di Borneo.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah turut hadir dan sekali gus merasmikan 10th Anniversary Sibu International Bike Week. Beliau yang juga seorang pemilik motosikal berkuasa tinggi turut mengucapkan tahniah kepada Razz Chopper Malaysia yang berjaya menempa nama dalam kalendar pelancongan negeri Sarawak dengan penganjuran Sibu International Bike Week.
“Tidak dinafikan, Sibu Bike Week berjaya menggamit warga negara jiran secara sistematik berkunjung ke Sibu khususnya dan Sarawak amnya,” kata Dato Sri Abdul Karim.
Prinsip menghormati pengunjung. Prinsip yang memperlihatkan hanya pengunjung yang berdaftar sahaja dibenarkan membawa masuk motosikal mereka di ruang parkir yang disediakan. Penerapan prinsip berkenaan oleh penganjur Sibu International Bike Week bukan bermaksud menyekat pengunjung tidak berdaftar memasuki ke tapak acara berkenaan.
Mereka hanya tidak dibenarkan membawa masuk motosikal ke dalam tapak acara.
Rutin acara Sibu International Bike Week seperti tahun sebelumnya tetap diteruskan. Antaranya pertukaran cenderahati kelab-kelab motosikal yang hadir dengan penganjur, cabutan bertuah ,Burn Out,Auto Show. Penghormatan kepada Vendor yang telah 10 tahun berniaga di Sibu Bike Week turut juga di raikan. Cikgu Mie Kelate merupakan vendor dari semenanjung yang tidak pernah terlepas berniaga di Sibu Bike Week.
Omar Jumiran, rakyat Malaysia yang juga pemenang tempat ke-2 di Pertandingan Motosikal Dunia AMD Championship di Jerman 2018 turut dijemput ke 10th Anniversary Sibu International Bike Week ini. Beliau dijemput sebagai juri pertandingan motosikal Custom.
Tidak dapat disangkal atau dipandang remeh, Sibu International Bike Week ini sememangnya bertaraf antarabangsa. Peningkatan pemilik motosikal dari pelbagai negara mengunjungi acara ini saban tahun menjadi bukti keabsahannya. Sokongan padu dari kerajaan negeri akan lebih memeriahkan acara.