Presiden Rose Riders, Santuni Sahabat-Sahabat Utara, Selatan, Timur Dan Barat!

Bermotor memang menyeronokkan, lebih menyeronokkan apabila dikongsi bersama rakan-rakan yang mempunyai minat sama. Beriadah atau menyertai kelab-kelab motosikal tidak pernah salah, apatah lagi apabila ia mampu menjauhkan diri khususnya golongan muda terjebak dalam aktiviti yang tidak mendatangkan faedah.

Setiap perkara ada baik dan tentu ada juga keburukannya. Selagi pandai menilai dan terus melakukan yang terbaik untuk dunia permotoran, jadi tiada salahnya menyertai kelab-kelab motosikal seperti ROSE RIDERS yang memang terkenal dengan hubungan serta kekuatan ukhuwah yang terjalin di antara ahli-ahli kelab.

Pelbagai aktiviti dan program pernah dan akan terus dijalankan oleh ROSE RIDERS. Antara yang pernah dianjurkan tidak lama dahulu ialah program Presiden Menyantuni Sahabat (Group) yang berlangsung pada cuti perayaan Aidil Adha yang lalu. Diusahakan oleh presidennya, Bro Zass berserta admin Pantai Timur (Negeri Pahang), Bro Syafiq Nimota yang menyantuni para sahabat dari Utara, Selatan, Timur dan Barat.

Program ini melibatkan kekuatan 2 jentera iaitu Demak Skyline dan Nimota CK9, bermula dari Kuala Lumpur menuju ke Perak, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan ditamatkan di negeri Pahang. Suatu pengalaman yang indah apabila dapat berjumpa dan beramah mesra bersama sahabat-sahabat. Lagipun, bersahabat itu memang sesuatu yang indah!