Praktikal Dan Menawarkan Penunggangan Sporty

Dikenali sebagai Honda Forza di pasaran Eropah, skuter bersaiz besar atau lebih selesa dipanggil sebagai skuter maxi ini sudah pun ditawarkan di pasaran tempatan. Honda NSS300 disifatkan sebagai sebuah skuter yang ultra moden, bergaya dan tidak sukar untuk dikendalikan. Pada masa sama, ia menawarkan prestasi, keselesaan dan nilai terbaik untuk setiap pemiliknya.

Untuk makluman, Honda NSS300 diperkenalkan ke pasaran global lebih 13 tahun lalu. Justeru, demi memenuhi harapan pelanggan di seluruh dunia yang sering berubah, jentera tersebut telah mengalami pelbagai bentuk penambahbaikan. Honda NSS300 digerakkan unit enjin bersesaran 279cc dengan sistem penyejukan cecair. Enjin empat lejang SOHC itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 19kW @ 7,500rpm dan tork sehingga 26Nm @ 5,000rpm.

Kuasa itu kemudian dialirkan ke roda menerusi transmisi automatik V-Matic. Berupaya menawarkan kuasa yang responsif, menunggang Honda NSS300 di laluan bandar dan lebuh raya pasti menjadi satu pengalaman yang mengujakan.

Seperti biasa, Honda amat mengambil berat aspek penjimatan bahan api. Maka, enjin ini menggunakan sistem Programmed-Fuel Injection (PGM-FI) yang membolehkan Honda NSS300 mencatat jarak sejauh 354km dengan satu tangki berkapasiti 11.6 liter petrol. Dalam erti kata lain, enjin yang memenuhi piawaian emisi Euro 3 ini berupaya mencapai penjimatan sehingga 30.8 km bagi setiap liter petrol berdasarkan kepada mode WMTC.

Bagi memastikan skuter ini mampu memberikan pengendalian meyakinkan dalam apa jua kondisi, chasisnya dibina menggunakan besi tubular yang kukuh dan tahan lasak. Kerangka under-bone juga dibangun menggunakan Computer Aided Engineering (CAE). Hasilnya, ia menjadi sebuah skuter yang cukup fleksibel ketika mengambil selekoh. Prestasi skuter maxi itu ditingkatkan lagi menerusi aplikasi sistem brek Combined Braking System (CBS). Untuk makluman, sistem brek CBS terdiri daripada brek cakera pada roda hadapan dan belakang yang menyediakan kuasa membrek lebih meyakinkan.

Aspek keselesaan dipertingkat melalui penggunaan fork jenis teleskopik bersaiz 35mm. Manakala roda belakang menggunakan khidmat penyerap hentak berkembar. Disamping lengan ayun aluminium pada kedua-dua sisi skuter tersebut. Honda NSS300 memastikan bahawa setiap pemilik berasa bangga ketika menunggangnya. Rekaan luaran yang menarik perhatian membuatkan sesiapa sahaja sukar untuk tidak mempedulikannya.

Jentera itu memiliki profil kontemporari melalui rekaan fairing yang kemas serta sepasang lampu utama jenis halogen. Anda juga pasti menghargai praktikaliti yang ditawarkan kluster meternya. Ia memaparkan pelbagai maklumat berguna untuk penunggang seperti kelajuan, jam, dua meter trip, takat bahan api, suhu enjin dan lampu amaran tahap minyak enjin. Ruang penyimpanan barang menjadi satu lagi kelebihan Honda NSS300, sekali gus membezakannya dengan pesaing yang lain. Tempat menyimpan barang yang luas itu boleh dibuka, ditutup dan dikunci dengan mudah. Hanya perlu tekan satu butang untuk menempatkan dua buah topi keledar full-face di dalamnya.

Bukan itu sahaja, terdapat dua poket pada kedua-dua belah sisi fairing bagi membolehkan anda meletakkan barang-barang kecil. Sementara soket kuasa 12V pula pasti membantu jika penunggang mahu mengecas telefon bimbit atau peranti lain. Aspek keselamatan skuter itu dipertingkat dengan sistem pencegah kecurian berasaskan cip yang dikenali sebagai HISS (Honda Ignition Security System).

Posisi duduk ketika menunggang NSS300 begitu ergonomik. Ia juga memiliki dimensi ideal dengan 2,166 (panjang) x 753 (lebar) x 1,189mm (tinggi). Jadi, rekaannya yang kemas membolehkannya bergerak di kesesakan bandar dan diletakkan di ruang parkir tanpa sebarang masalah. Ruangnya juga cukup luas untuk membolehkan dua orang duduk dengan selesa.

Penunggang muda melihat Honda NSS sebagai antara model terbaik untuk menaik taraf daripada motosikal berkuasa 150cc. Bagi penunggang veteran pula, mereka akan mendapati Honda NSS300 sebuah skuter yang praktikal dan menawarkan tunggangan sporty.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar 7