Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (“BSH”) hari ini mengumumkan tiga pilihan warna baharu untuk Honda Vario160. Pilihan warna baharu yang ditawarkan adalah Matte Black, Silver Blue dan Gray Gold manakala harga yang ditawarkan kekal pada tag harga RM10,498 (tidak termasuk cukai pendaftaran dan pelbagai lagi).
Model ini antara skuter kecil paling laris di pasaran Malaysia sejak ia dilancarkan pada 2022 sebagai pengganti kepada Vario 150 dengan prestasi dan rekaan dan ciri keselamatan masih tetap sama. Skuter ini juga berjaya mengukuhkan jenama Honda sebagai skuter bandar pilihan ramai kerana ciri-cirinya yang sporty, teknologi tulen, serta tahap kebolehpercayaan Honda.
Model ini mengekalkan enjin 157cc (eSP+) yang menawarkan kecekapan bahan api yang baik, mendapat pengiktirafan EEV serta penarafan 5 bintang di bawah Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP). Sistem ABS dan Honda Smart Key turut disertakan sebagai ciri standard, di samping ruang simpanan 18 liter di bawah tempat duduk dan sistem pencahayaan LED sepenuhnya.
Kesemua ciri ini dibina di atas kerangka Enhanced Smart Architecture Frame (eSAF) Honda, bagi memastikan kestabilan penunggang ketika meluncur di atas jalan raya.
“Warna-warna baharu untuk Vario160 ini adalah bagi mereka yang telah menantikan ton warna yang malar segar khususnya bagi pemilik baharu yang masih memilih sebelum membuat pilihan tepat,” ujar Kunitomo Asano, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda Sdn. Bhd.
Honda Vario160 dengan pilihan warna baharu kini boleh didapati di semua pengedar sah Honda Impian X di seluruh negara.
Untuk rekod, setiap pembelian model Honda Vario160 didatangkan dengan waranti pengeluar selama dua tahun atau 20,000km (yang mana terdahulu). Pemilik juga boleh kekal berhubung melalui aplikasi mudah alih ‘Honda X’, yang membolehkan mereka mengakses rekod servis, peringatan penyelenggaraan dan maklumat waranti dengan mudah, menjadikan pengalaman pemilikan lebih ringkas dan lancar.