Selain itu, ahli-ahlinya memegang status sebagai admin di page laman Facebook, YouTube, Instagram dan TikTok yang boleh diikuti segenap lapisan masyarakat. Kandungan yang dihasilkan mereka mengandungi penulisan cerita, video-video kreatif diselangi gambar-gambar menarik serta informasi terkini dunia permotoran yang boleh diakses menerusi akaun media sosial.
Pandemik Covid-19 yang lalu telah menjejaskan sektor pelancongan dan menjadi puncu kepada tertubuhnya D’ Lancong Fleet pada 11 Julai 2022. Gabungan ini mendapat sambutan amat baik bukan sahaja dari badan kerajaan, malah para aktivis, industri pelancongan di negeri-negeri yang telah dikunjungi. Antara negeri yang telah dipromosikan ialah Perlis dan Kedah yang berlangsung pada Julai 2022 dan Oktober 2022 yang lalu.
Setiap kunjungan diikuti usaha memasarkan lokasi dan juga premis yang memakan masa selama tiga sehingga tujuh hari bergantung kepada jumlah lokasi yang dikenalpasti untuk dihebahkan kepada para pengikut masing-masing. D’ Lancong Fleet berkonvoi dengan menggunakan pelbagai jentera motosikal milik ahli-ahli, gemar memilih premis pelancongan, kilang-kilang pengeluar motosikal termasuk galeri, warung makanan unik, premis penginapan, lokasi-lokasi menarik untuk sesi fotografi serta aktiviti yang berkaitan dengan dunia pelancongan permotoran yang memberikan manfaat kepada para penunggang lain di Malaysia.
Gabungan ini menganggap ia salah satu usaha ‘Corporate Social Responsibility’ yang mula mendapat perhatian menerusi beberapa perkongsian di media sosial yang dijadikan sebagai panduan. Selain itu, Kunjungan Tular Dua Roda ke negeri-negeri seluruh Malaysia juga bertujuan untuk meningkatkan ekonomi masyarakat setempat melalui kemasukan para pelancong di lokasi-lokasi yang ditularkan, bersesuaian dengan harga, aktiviti, akses, kemudahan, layanan serta keunikkan yang ditawarkan. Misi ini bukan sahaja terhad di semenanjung Malaysia, malah ke semua negeri. Selepas sahaja selesai di semenanjung, gabungan ini akan meneruskan usaha ke Sabah dan juga Sarawak.
Kucing digunakan sebagai logo yang mewakili gabungan ini kerana haiwan ini mempunyai sifat ingin tahu yang sangat kuat serta tingkah laku di luar jangkaan. Lagak dan karakter kucing itu bersesuaian dengan situasi. Selain comel, kucing juga antara haiwan peliharaan yang disayangi segenap lapisan masyarakat dunia. Logo kucing memakai helmet retro berkaca mata sambil memerhatikan motosikal di tepian pantai pelancongan membawa maksud mendalam, bertepatan misi gabungan media permotoran ini.
Sasaran seterusnya adalah negeri Di Bawah Bayu, Sabah yang dijangka bakal berlangsung pada tahun 2023. Jelajah ke negeri Sabah ini dijangka akan memberi pelbagai informasi tentang pengurusan pengangkutan, pemanduan arah peta, tunggangan bersama orang tempatan, cabaran bermalam lebih lama serta hal-hal ehwal lain yang melibatkan kos serta persediaan mental.
Jangan lupa ikuti pengembaraan D’ Lancong Fleet menerusi media sosial mereka di Instagram, Facebook, YouTube dan juga TikTok. Nantikan kehadiran mereka di negeri anda, pasti menarik bila dapat bersua dan ride bersama, kan?