Siapa tidak kenal dengan jentera berkuasa dari CFMoto. Malah di arena Kejuaraan Dunia, pengeluar motosikal dari China itu turut meraih pelbagai kejayaan termasuk juara dunia menerusi David Alonso bagi kelas Moto3 pada tahun 2024.
Menjengah pasaran tempatan bagi segmen berkuasa tinggi, jenama CFMoto kini diiktiraf sebagai model kedua paling popular dalam kalangan pengguna dua roda di Malaysia. Lebih menarik beberapa model yang di bawah jenama CFMoto turut menguasai kedudukan teratas dari segi populariti dan jenama kedua paling laris di bawah MForce Bike Holdings Sdn Bhd.
Ini dapat dilihat apabila model sport paling laris di bawah kategori 250cc dipegang oleh CFMoto 250SR. Mengekori rapat adalah model kembara (adventure) dari siri 800MT dan 450MT. Kedua-dua model (sport dan adventure) ini amat diminati oleh pengguna tempatan sama ada dari segi reka bentuk atau harga yang bukan sahaja mampu milik, malah dilihat tidak terlalu mahal berbanding jenama lain.
Bagi memberi peluang kepada peminat motosikal CFMoto melihat secara dekat model-model di bawah jenama CFMoto, G.C. Ann Motor Enterprise Sdn. Bhd. merasmikan pembukaan CFMoto Flagship Store G.C. Ann Motor Enterprise Sdn. Bhd. di Kuala Selangor, sekali gus memperkukuhkan lagi rangkaian pengedaran dan perkhidmatan jenama CFMoto di Malaysia.
Disempurnakan dengan kehadiran Yang Berhormat Dato’ Noorazley Yahya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, bersama barisan pengurusan daripada G.C. Ann Motor Enterprise Sdn. Bhd., CFMoto Malaysia, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. serta wakil daripada Zhejiang CFMoto Power Co., Ltd., China.
G.C. Ann Motor Enterprise Sdn. Bhd., yang telah beroperasi sejak tahun 1999 di Kuala Selangor merupakan kedai membaiki motosikal yang menawarkan perkhidmatan mampu milik kepada masyarakat setempat. Ia berkembang pesat seterusnya menjadikan syarikat ini terus berkembang sehingga menjadi antara pengedar motosikal yang diyakini di kawasan tersebut.
Pembukaan CFMoto Flagship Store yang baharu, G.C. Ann Motor Enterprise kini menjadikan CFMoto Flagship Store yang keempat di Selangor dan yang kesebelas di seluruh negara, mencerminkan komitmen berterusan CFMoto Malaysia dalam memperluas rangkaian pengedar premium mereka di seluruh negara.