Penuhi Impian Rider dan Praktikal Untuk Kegunaan Harian

“Sasaran MDua Motor mensasarkan model MOCA ini kepada kelompok rider penghantar. Tak kisah datang dari syarikat e-haling mana sekalipun, model ini sebenarnya cukup sesuai buat mereka.”

“Model ini juga telah diuji selama 6 bulan mengharungi perjalanan perbatuan yang jauh bagi mencapai tahap ketahanannya. Beberapa penambahbaik telah kami lakukan antaranya enjin masih hidup sekalipun tongkak sisi diturunkan, ‘rack’ di bahagian belakang dan banyak lagi,” demikian menurut Ahmad Faez Yahya, Pengerusi Eksekutif Kumpulan, AFY Mobility Industries (AMI) mengenai model terbaharu MOCA dibawah jenama MODA.

Moca merupakan sebuah skuter 110cc serba baharu yang direka untuk penunggang yang menyerlahkan gaya hidup ceria serta gaya hidup yang mudah. Model skuter ini turut mengembalikan nostalgia rekaan retro yang diinspirasikan sentuhan moden. Menariknya MODA Moca hadir dengan tiga warna ekspresif:
• Neon Orange – untuk mereka yang berani dan bertenaga.
• Piano Black – buat mereka yang menginspirasi kekemasan dan keabadian klasik
• Ocean Blue – ideal buat mereka yang ceria, segar dan bergaya.

Manakala tiga warna lagi akan menyusul selepas ini iaitu Silver, Hijau dan Purple (Ungu) sekali gus memberi banyak pilihan warna buat pengguna.

Ketika penulis menguji secara singkat, Moca ternyata skuter yang mudah dikawal dan memenuhi keselesaan bagi penggunaan harian. Ianya juga agak praktikal namun dalam masa yang sama menyerlahkan personaliti tersendiri.

Dari segi berat, Moca dengan berat 89kg agak ringan dan sudah tentu ia agak lincah menyelit di jalan yang sesak dan sempit. Ia dijanakan dengan enjin 108cc, 4 Lejang, SOHC, 1-Silinder yang menghasilkan kuasa maksimum 8 Hp / 7500 rpm dan tork maksimum 8.5 Nm / 6500 rpm.

 

Moca juga agak praktikal sepertimana model skuter yang lain. Ia memenuhi ciri-ciri praktikal untuk kemudahan harian seperti ruang simpanan asas di bawah pelana tempat duduk, rak belakang & cangkuk praktikal untuk beg beli-belah.

Selain itu, paparan meter digital untuk pengalaman tunggangan moden, brek cakera hadapan, lampu utama hadapan dan lampu belakang LED yang terang sebagai ciri keselamatan tambahan menjadikan ia sebuah skuter yang sempurna.

Moca hadir dengan jiwa rekaan skuter klasik ikonik yang sejak dahulu telah menjadi lambang kebebasan, gaya dan keperibadian melihat dari segi penampilan rekabentuk yang agak klasik namun dikaitkan aura moden. Lengkungan bentuk dan karakternya membangkitkan rasa nostalgia dari jenama Eropah satu ketika dahulu namun prestasi dan teknologinya telah disesuaikan bagi kegunaan dan gaya hidup masa kini.

Ini adalah skuter yang bukan sekadar membawa anda dari satu destinasi ke destinasi yang lain, tetapi menggerakkan anda dengan pesona warna, karakter, dan gaya. Pemilik Moca juga bakal disajikan dengan lebih banyak pilihan aksesori dan penyesuaian pada masa akan datang. Antara pilihan aksesori yang bakal ditawarkan
termasuklah:
• Penghadang angin hadapan (front windshield) untuk keselesaan tunggangan
tambahan
• Kotak simpanan belakang (top box) untuk praktikaliti storan.
• Dan lebih banyak aksesori gaya hidup mengikut citarasa peribadi

Moca ditawarkan pada harga MRSP RM3,988.00 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran). Harga ini terpakai untuk Semenanjung Malaysia sahaja dan tidak termasuk Sabah & Sarawak. Dengan harga mampu milik ini, Moca memberi peluang kepada pembeli untuk memiliki sebuah skuter yang menepati citarasa terkini. Untuk lebih keyakinan, Moca juga turut ditawarkan pakej jaminan 2 tahun atau 20,000km.

SPESIFIKASI MODA MOCA
Enjin : 4 Lejang, SOHC, 1-Silinder
Sistem Bahan : Api Suntikan (Fi)
Kapasiti Tangki : 4.8 L
Pengurusan Enjin : Elektronik
Sesaran : 108cc
Kuasa Maksimum : 8 Hp / 7500 rpm.
Tork Maksimum : 8.5 Nm / 6500 rpm.
Sistem Penyejukan : Sejukan Udara
Brek Hadapan : Cakera
Brek Belakang : Dram
Saiz Tayar Hadapan : 3.0/10 Tubeless
Saiz Tayar Belakang : 3.5/10 Tubeless
Suspensi Hadapan : Teleskopik
Suspensi Belakang : Uni Hayunan
Transmisi : CVT (V-Belt Drive)
Pensijilan : Euro 4
Penghidup : Elektrik
Sistem Pencucuh : Ignasi Elektronik (Transistorized)
Jarak Roda : 1275 mm
Tinggi Pelana : 738 mm
Berat : 89 Kg