Penuhi citarasa di jalan raya dan di litar!

Penuhi citarasa di jalan raya dan di litar!

Legenda kejuruteraan Benelli dengan gaya perlumbaan Itali. Lebih banyak kuasa kuda dan ketahanan, lebih banyak kemudahan, lebih banyak teknologi perlumbaan. Kemampuan yang luarbiasa dan diklasifikasikan moped terbaik di kalangan 150cc yang begitu popular masa kini. Pengedar motosikal Benelli, Mforce Bike Holding mengkaji naluri dan kehendak remaja Malaysia dan membawa masuk model ini. Bergaya dan ringkas dengan rekaan yang tajam dan sporty, sesuai dengan trend sekarang. Adakah model ini cabaran kepada model 150cc yang sedia ada di pasaran Malaysia?

Apakah maksud RFS?

Rider For Speed, betul ke jawapan itu? Jangan risau. Ayuh ikuti ujian yang telah kami lakukan selama seminggu. Kelebihan, kekurangan, kemudahan serta apa juga yang dilengkapkan ke atas Benelli RFS 150i ini telah kami selongkar. Kecanggihan dan sistem yang agak pelik turut kami temui. Sistem B3SP Benelli 3 Spark merupakan sistem yang membolehkan enjin enjin RFS 150i begitu fleksibel. Bagaimana cara ia bekerja?

Ia menggunakan ketiga-tiga palam pencucuh, bersama sistem ECU motosikal dan pancitan bahan api. Berfungsi mengubahsuai pemasaan enjin dan penggunaan palam pencucuh untuk memaksimumkan kuasa serta memastikan enjin dapat beroperasi pada suhu rendah. Kecekapan bahan api dapat dioptimumkan. Dikuasai oleh enjin empat lejang satu silinder dengan sistem penyejukan cecair berkuasa 15.5hp dan tork 13.0Nm pada 7,000rpm. Enjin bersesaran 149cc itu dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan. Suspensi fork depan jenis terbalik (inverted) dan monoshock di belakang memberikan kawalan luarbiasa dan berkualiti sama seperti menunggang motosikal Beneli berkuasa tinggi.

Kelajuan 140km/j hingga 150km/j mampu dicapai sepadan dengan berat 126kg. sistem keselamatan dilengkapi dengan brek cakera pada kedua-dua roda bersaiz 240mm di hadapan dan 220mm di belakang. Tayar yang bersaiz 70/90-17 di hadapan dan 120/70-17 di belakang. Maklumat semasa menunggang adalah elemen terpenting, sehubungan itu, kluster meter LCD berperanan menyediakan maklumat tunggangan. Tilik pandang secara terperinci, semakin banyak yang membuat mata terpukau. Pelana tempak duduk selain menggunakan kain bertekstur, dapat dilihat tulisan Benelli, paling syok melihat lencana ukiran hiasan di bahagian penutup enjin. Ini menunjukkan betapa telitinya Benelli menghasilkan produk mereka.

Cukup memberangsangkan kepada mereka yang suka pada kelajuan atau pecutan. Sesi ujian peringkat kelajuan, saya dapat mencecah 135km/j dengan keberatan badan 75kg. Jadi kepada mereka yang lebih slim ala-ala berat pelumba motor GP, mungkin dapat memerah kuasa enjin motosikal ini sehingga tanda merah rpm. Kami juga diberi peluang menguji model RFS 150 SE. Ujian di litar Elite Subang Jaya cukup memberangsangkan. 5 pusingan tak puas, kami uji lagi 5 pusingan. Tidak banyak perbezaan dari segi sistem enjin pada model SE. Keindahan kosmetiknya menyerlahkan keindahan rekabentuk motosikal tersebut.

Tahniah dan syabas kepada Benelli dengan hidangan resepi yang cukup rangup dalam menyediakan sebuah kapcai varian sporty. Meleper, sistem brek yang dipuji berfungsi dengan baik. Cukup mantap ketika mengambil selekoh pendek atau panjang. Pengendalian yang cukup sempurna sewaktu berhadapan kesesakan trafik. Kesimpulannya, tidak menyesal jika ingin memiliki kapcai model ini. Terima kasih kepada MForce Bike Holdings kerana memberi ruang dan peluang kepada majalah Roadstar untuk menunggang uji serta membuat ulasan. Bak kata pepatah, “niat di hati ingin pakai lama, apakan daya bukan kita punya.” Di sini, kami hidangkan gambar Benelli RFS 150 SE demi memudahkan pembaca menilai kesenian rekaan Benelli terkini bagi memenuhi selera peminat kapcai di Malaysia.

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar 55