Sebanyak 48 buah motosikal telah terlibat dalam program penutup kelab motosikal berkuasa tinggi NVOG & Friends untuk tahun ini. Konvoi Supercup Ride Santai Denai Kabus ini merupakan salah satu misi melatih dan berlatih untuk program Trans Borneo Ride nanti
Diadakan pada 4 Disember lalu, para peserta mula berkumpul dan bergerak seawal 8.00 pagi dari Pulau Pinang menuju ke Kulim untuk berkumpul sebelum memulakan ekspedisi menunggang merentasi banjaran bintang ke Baling. Setibanya di sana, para peserta bercadang untuk menikmati sarapan di Warung Mat Noi (Baling Route 67).
Cuaca cerah dan nyaman yang mengiringi sepanjang perjalanan amat memukau pemandangan. Para peserta konvoi tiba di Pekan Baling tepat jam 9.20 pagi. Warung Mat Noi yang berkonsepkan PitStop Route 67 amat terkenal di kalangan bikers kerana menyajikan sarapan ala inggeris yang menarik.
Para peserta diberi masa selama sejam untuk bersarapan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya bagi menyampaikan sumbangan kepada Masjid Kg Batu 48. Program Jom Infak Masjid ahli NVOG ini diteruskan sejak 2-3 bulan lalu. Masjid Ar-Rahmaniah Batu 48 merupakan tapak asal masjid di Kampung Masjid Lama Bongor.
Disebabkan banjir dan hakisan sungai, masjid ini dipindahkan ke Kampung Batu 48 Bongor di atas tapak yang diwakafkan oleh Penghulu Mukim ketika itu iaitu Allahyarham Tuan Haji Awang Abd Rahman bin Abu Bakar pada awal tahun 50an. Masjid pertama dibina ini adalah hasil gotong-royong penduduk kampung ketika itu. Bahan yang digunakan ialah kayu-kayu yang di tebang dari bukit-bukit berdekatan. Dengan kemahiran bertukang penduduk, terbina sebuah masjid untuk kegunaan penduduk setempat.
Setelah selesai majlis penyerahan sumbangan, konvoi meneruskan perjalanan menuju ke Pengkalan Hulu, Perak dan kemudian ke Bukit Berapit Imigresen untuk sesi bergambar di sempadan Malaysia – Thailand. Para peserta turut dimaklumkan bahawa sempadan akan mula beroperasi pada pertengahan bulan December atau tahun 2022 nanti.
Konvoi meneruskan perjalanan menyusuri Jalan Lepang Nering (Felda Nering) di mana terdapat tanah runtuh di Pengkalan Hulu Jalan Baling – Kuala Kangar dan laluan ditutup. Sepanjang perjalanan, para peserta melalui lereng-lereng bukit dengan perasaan yang cukup teruja dek kerana dibuai suasana yang mendamaikan. Konvoi bergerak secara perlahan memasuki lorong sempit ke Denai Kabus Agro Farm yang terletak 13km dari pekan Grik.
Seramai 56 peserta konvoi tiba dengan selamat di Denai Kabus dan sementara menanti hidangan makan tengah hari disediakan. Para peserta mengambil kesempatan ini untuk beriadah sambil menikmati keindahan alam yang terdapat di Demai Kabus yang terletak dalam kawasan Kampung Pahat. Antara kampung yang paling hampir dengan kaki gunung membuatkan suhu persekitarannya sejuk dan pemiliknya pula seorang penduduk tempatan iaitu guru bersara, En. Ahmad Termizi Abdul Hamid. Beliau menyambut kehadiran peserta konvoi serta beramah-mesra bersama dan sudi menceritakan sejarah, bagaimana beliau membangunkan kawasan ini sehingga menjadi salah satu Ikon Pelancongan di Grik.
Para peserta disajikan masakan kambung seperti nasi dulang yang dihidangkan bersama gulai masak batang pisang serta ayam masak merah yang lazat disulami ulam dan kerabu serta ikan masin yang sungguh menyelerakan. Rata-rata peserta konvoi teruja menikmati makan tengah hari di sini.
Setelah solat berjemaah, para peserta konvoi bergambar sebagai kenangan dan bergerak keluar dari Denai Kabus tepat jam 2 petang untuk menuju pulang ke destinasi masing-masing. Konvoi menyusuri jalan Grik – Baling – Kulim untuk kembali, singgah sebentar di Lunas Restoran Kapitan untuk sesi teh tarik sebelum berpisah.
Jutaan terima kasih kepada semua peserta konvoi yang hadir dalam Ride Supercup Ride Santai Denai Kabus kali ini. Pengalaman ride Supercup kali ini amat berbeza kerana dilakukan dengan suasana pendemik yang menghadkan pergaulan dan konvoi perlu mematuhi SOP yang ditetapkan agar semua dapat mengekang Covid-19 bersama-sama. Aktiviti riadah kali ini mengajar erti keinsafan dan perlu hidup bersama virus covid-19 ini di peringkat endemik dan terus menjaga kebersihan agar tidak dijangkiti.
Perkongsian : Fazrul NVOG