Pelbagai Ragam Dan Aksi, Meriahkan Lagi Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 2022

Lebih Baik Cegah, merupakan slogan sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2022 peringkat Negeri Sembilan yang berlangsung pada 12 Jun yang lepas. Bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Paroi (KOMBES), program ini dipadatkan dengan pelbagai aktiviti menarik.

Progrm telah dimulakan seawal 7.30 pagi dan berakhir di sekitar pukul 2.30 petang. Antara aktiviti yang disediakan sepanjang program ini termasuk pertandingan Fitness Dance, pertandingan mewarna kanak-kanak, kuiz Antidadah, kuiz Kenegaraan Jabatan Penerangan. Ini diikuti dengan segmen cabutan bertuah.

Program ini turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia Dan Sukan YB Dato’ Haji Taufek bin Abd. Ghani, Pengarah Negeri, Dr Hadijah Binti Baba, pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainudin Bin Abdullah dan ramai lagi.

Bagi memeriahkan lagi program ini, pihak penganjur turut bekerjasama dengan KW Motorsport dan menyediakan lebih banyak aktiviti melibatkan dua roda. Antaranya termasuk Autoshow Motor, Demo Motor Cub Prix, Kelab Motor dan macam-macam lagi. Program anjuran KW Motorsport ini turut mendapat sokongan dari jenama terkenal seperti Koyoko.

Penyertaan yang diterima dari para peminat dua roda memang di luar jangkaan. Sebanyak lebih 70 buah motor yang mendaftar untuk kategori Autoshow (motor), 13 motor Demo Fun Race Minibike, 10 buah motor Demo Fun Race Pushbike dan 6 motor Demo Cub Prix.

Sebelum melabuhkan tirai, para pemenang yang bertuah dalam mempamerkan kehebatan masing-masing dan muncul sebagai pemenang mengikut kategori masing-masing telah menerima hadiah. Manakala hadiah-hadiah ini pula disampaikan oleh tetamu kehormat iaitu Pengarah Negeri, Dr. Hadijah Binti Baba dan juga Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainudin Bin Abdullah.

Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah diucapkan kepada barisan penganjur serta penaja yang bersungguh-sungguh dalam menganjurkan program ini. Semoga lebih banyak aktiviti sama turut diadakan di masa hadapan, sekali gus menarik perhatian golong muda agar tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat apatah lagi terlibat dengan dadah!