Motor dan Audio, Syabas Inspektor Sahab!

Idea motosikal dan sistem audio sebenarnya berkaitrapat dengan skuter. Rekaan motosikal moped seperti LC bukanlah pilihan yang tepat kerana faktor ruang dan juga saiz. Skuter mempunyai ruang letak kaki yang luas yang boleh diubahsuai menjadi lokasi komponen audio sementara halangan sebuah moped ialah enjinnya berada di depan.

Ia bukanlah halangan buat seorang yang kreatif seperti pemilik motosikal ini. Menurutnya, ini adalah sistem ketiga yang dibina dan paling lengkap pernah beliau buat pada projek LC. Ia bermula dengan seunit pemain DVD Sony yang dipasangkan dalam perumah khas buatan gentian kaca bersama seunit monitor LCD 7”. Posisi itu pada asalnya ialah untuk meter asal motosikal dan diubahsuai kerana itu sahaja posisi yang paling sesuai untuk menala pemain dan juga memberi paparan visual jelas kepada penunggang.

Equalizer Live Audio 4 band dipasang untuk melaras frekuensi yang dihasilkan oleh pemain Sony tersebut. Posisi pemasangannya ialah dalam aksesori kotak barang dengan tombol penalanya dihalakan ke bahagian luar. Di dalam kotak ini juga terdapat 2 unit amplifier MA Audio yang menguasakan keseluruhan sistem.

Sistem keseluruhan LC ini menggunakan 4 unit speaker 2 way dan seunit subwoofer. Pembahagian kuasa dibuat dengan mudah menerusi 2 unit amplifier tadi di mana amplifier 4 channel menyalurkan kuasa kepada 4 speaker 2 way speaker Rockford Fosgate Punch dan berkongsi kuasa dengan 2 unit tweeter yang dipasangkan pada lokasi unik, di bahagian cermin sisi!

Seunit subwoofer 10” Lightning Audio menjadi penamat kepada dentuman bass yang dihasilkan. Di sinilah cabarannya kerana saiz kon dari subwoofer tersebut merupakan halangan besar kepada pemasangnya untuk memastikan output bass mampu diekstrak secara maksimum. Lokasi yang ada hanyalah di bahagian cub tadi yang diubahsuai dengan menempatkan konsol khas yang diperbuat dari fibre glass juga. Dia punya berat jangan tanyalah. Tuhan sahaja yang tahu.

Walaupun jumlah komponen yang tersenarai dalam projek LC ini tidak besar, pembinaannya pada sebuah motosikal berenjin depan merupakan cabaran yang harus diambilkira. Berbulan lamanya diperlukan untuk membina sebuah objek sebegini dan 10 kali lebih susah berbanding memasang peralatan yang sama pada sebuah kereta. Pun begitu, memasang sistem audio sahaja belum tentu menjadikan sebuah motosikal itu lengkap dan istimewa kerana itu jugalah pemiliknya bertindak menyolek habisan pada projek ini.

Tema Dragonball Evolution digarap pada teknik tempaan airbrush yang membalut badan motosikal ini. Filem aksi Amerika yang digarap dari animasi Jepun ini bagaimanapun agak kontras dengan kepala naga entah buaya di bahagian lampu utama motosikal. Apapun, kerjatangan yang diserapkan nampaknya cukup teliti dengan sudut-sudut kecil tidak ditinggalkan. Ia termasuklah kulit enjin, swing arm, penutup ekzos, rim depan dan belakang malah sehingga ke cakera dan angkup breknya juga. Lebih menakutkan ialah tanduk naga di atas kepala hijau itu.

Pengubahsuaian motosikal ini berpusat pada daya kreatif yang tinggi. ia juga bukan sahaja perlu kesabaran dan ketelitian yang tinggi, malah tidak banyak kedai yang sanggup melakukannya. Motosikal ini dibina sepenuhnya oleh pihak Super Star Accessories Wangsa Maju dan satu-satunya projek motosikal paling lengkap pernah mereka bina.

Syabas Inspektor Sahab!