Morbidelli Anggap Diri Bertuah, Hanya Alami Cedera Ringan
“Saya anggap diri saya amat bertuah”, kata pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team, Franco Morbidelli yang terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan semasa perlumbaan Grand Prix (GP) Moto di GP Austria di Litar Red Bull Ring semalam. Pelumba Itali berusia 25 tahun itu terlibat dalam kemalangan dramatik dan bahaya di Selekoh 3 pusingan 6 dengan pelumba Perancis, Johann Zarco daripada Esponsorama Racing yang menyebabkan bendera merah dikeluarkan. Tangan kanan, bahu dan kepalanya cedera dalam nahas itu, tetapi imbasan CT menunjukkan tiada kecederaan teruk.
“Saya mengalami bengkak, tetapi semuanya baik. Melihat pada rakaman kemalangan itu, saya bersyukur selamat. Ia kemalangan yang aneh kerana Johann (Zarco) memintas saya di laluan lurus dan kemudian menukar laluannya dengan membrek sehingga terbabas,” katanya seperti dipetik dalam laman web pasukan itu ;www.sepangracingteam.com.
Sementara itu, prinsipal pasukan Datuk Razlan Razali berkata semalam merupakan waktu sukar bagi pasukan, dengan Morbidelli cedera dalam insiden itu manakala rakan sepasukannya, Fabio Quartararo menamatkan saingan di tempat kelapan selepas berdepan isu teknikal pada jenteranya.
“Kami gembira Franco tidak apa-apa, keadaan pasti lebih teruk buat dirinya dan orang lain. Kami doakan yang terbaik buat dirinya dan kami pasti akan bangkit dengan lebih menyerlah pada minggu depan,” kata Razlan.
Pelumba Itali, Andrea Dovizioso daripada Ducati MotoGP Team, menjulang kemenangan pertamanya dalam MotoGP pada musim ini selepas mencatatkan 28 minit 20.853 saat dalam perlumbaan itu yang dimulakan semula kepada 20 pusingan selepas insiden itu.
Pelumba Sepanyol Joan Mir daripada Team Suzuki Ecstar dan pelumba daripada Pramac Racing, Jack Miller, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dengan perbezaan masa 1.377 saat dan 1.549 saat. — BERNAMA