Misi Mempertahankan Kejuaraan Dengan Pertaruhan Barisan Pelumba Berbakat Dan Berpengalaman

HI-REV Triple Zed Racing Team (HI-REV TZR) secara rasmi telah mendedahkan barisan pelumba mereka untuk musim Kejuaraan MSF Superbike 2026 yang menampilkan gabungan pelumba berbakat dan berpengalaman. Pasukan ini mempertaruhkan tiga pelumba utama merentasi pelbagai kategori sebagai usaha berterusan mereka untuk melahirkan bakat lumba serantau serta mengekalkan kecemerlangan kompetitif di litar lumba. Musim ini juga memperlihatkan pengukuhan kehadiran pasukan di peringkat serantau dengan penglibatan pelumba dari Malaysia dan Singapura.

Menerajui cabaran dalam kelas Super Rookie ialah pelumba wanita, Saidatul Zakirah, yang akan bersaing menggunakan jentera Triumph Street Triple 675. Selain kejohanan tempatan, beliau juga akan terus mengembangkan kerjaya antarabangsanya dalam Kejuaraan Eropah Wanita FIM 2026. Disebabkan komitmen antarabangsa tersebut, Team Principal yang juga juara keseluruhan kelas Supersport 2024, Zhafir Zamani, akan turun menggantikan Saidatul Zakirah bagi Pusingan 1 menggunakan jentera yang sama.

Pasukan ini turut diperkuatkan oleh pelumba Singapura, Marcus Lee, yang akan mengendalikan jentera Kawasaki ZX6R. Beliau merupakan Juara Keseluruhan kelas SM Advanced dalam Kejuaraan Supermoto Malaysia 2024 dan kini melakukan transisi penting ke kancah perlumbaan superbike bersama HI-REV TZR. Gaya tunggangan agresif beliau dan rekod prestasi cemerlang dalam saingan supermoto sebelum ini dijangka akan memberi nilai tambah kepada kekuatan pasukan.

Melengkapkan barisan pelumba ialah Heng Si Kiat, seorang pelumba berpengalaman dari Singapura yang akan bersaing dalam kategori perdana menggunakan jentera Honda CBR1000 RRR-SP yang baharu dibina. Sebagai Juara Keseluruhan kelas GP Masters dalam Kejuaraan MSF Superbike 2024, Si Kiat kembali dengan misi utama untuk mempertahankan gelarannya. Penglibatan beliau membuktikan cita-cita pasukan untuk terus mendominasi kategori tersebut pada musim ini.

Menjelang pusingan pembukaan Kejuaraan MSF Superbike 2026, HI-REV TZR kini sedang giat menjalankan persiapan rapi termasuk ujian pra-musim dan pembangunan jentera bagi membuktikan prestasi serta keandalan pelincir HI-REV. Dengan potensi pelumba yang kuat dan sokongan padu daripada rakan strategik serta peminat, pasukan ini menyatakan kesediaan sepenuhnya untuk menghadapi musim 2026 dengan penuh keyakinan dan cita-cita tinggi.