Pelumba muda Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengalihkan fokus sepenuhnya ke Grand Prix (GP) San Marino di Litar Misano hujung minggu ini dengan sasaran jelas untuk kembali bersaing dalam kelompok hadapan. Selepas sekadar berpuas hati meraih empat mata menerusi tempat ke-12 di GP Aragon lalu, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu tekad mahu bangkit memperbaiki keputusan serta mendapatkan semula rentak cemerlangnya.
Memasuki pusingan di Misano, pelumba berusia 19 tahun berasal dari Terengganu itu kini menghuni tangga kelapan keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3 2026 dengan koleksi 90 mata. Menerusi baki sembilan pusingan sebelum tirai musim 2026 dilabuhkan di Valencia pada penghujung November kelak, setiap kutipan mata cukup berharga buat beliau bagi memanjat carta kedudukan.
Persediaan di Litar Misano dimulakan dengan penilaian teliti terhadap data perlumbaan di Aragon. Fokus utama diberikan kepada kepantasan menyesuaikan diri dengan litar seawal Sesi Latihan Bebas 1 (FP1), mempertingkatkan keyakinan pengendalian jentera, serta mendapatkan pelarasan terbaik bersama kru teknikal pasukan agar sesuai dengan karakter trek Itali berkenaan.
Cabaran di Litar Misano dijangka sengit berikutan dominasi pelumba Eropah yang sudah sebati dengan selok-belok litar tersebut, berbanding penampilan pertama Hakim Danish yang perlu menyesuaikan diri terlebih dahulu. Perkara ini turut diakui Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairudin, yang menyifatkan aksi di Misano sebagai peluang terbaik buat Hakim Danish untuk bangkit dan mencatatkan keputusan lebih baik dengan berada dalam kelompok hadapan.