Misi kemanusiaan kelab motosikal berkuasa tinggi Northern Versys Owner’s Group (NVOG & Friends) bersama gabungan NGO Utara membantu mangsa banjir di Pahang pada 21 Januari telah melibatkan sebanyak 15 buah jentara 4×4. Para peserta mula bergerak dari Tikam Batu, Kedah pada malam Rabu 20 Januari, meredah keheningan malam melalui lebuh raya Utara Selatan. Konvoi berhenti seketika di perhentian Simpang Pulai selepas Ipoh untuk menuju ke Cameron Highland melalui Simpang Pulai. Para peserta konvoi tiba di Tanah Rata tepat jam 3.30pagi sebelum ke Ringlet Pahang menuju ke Sungai Koyan. Deretan lampu kenderaan pacuan empat roda merentasi kawasan tanah tinggi Cameron turun ke Sungai Koyan dan tiba di Masjid Sungai Koyan untuk bersolat Subuh serta bersarapan pagi di situ.
Setelah bersarapan pagi, para peserta bertolak ke Homestay dari Sungai Koyan menuju ke Pekan Dong yang terletak di Daerah Benta, Pahang untuk proses pengkelasan dan pengagihan yang dibahagikan kepada kenderaan masing-masing. Seterusnya, sumbangan yang telah dibahagikan tadi dibawa ke pusat-pusat pengagihan untuk dihantar ke kawasan tertentu yang telah ditetapkan wakil NGO serta pihak berkuasa seperti yang dibenarkan dalam permit bantuan banjir Pahang yang dipohon.
Sepanjang misi di PKOB Lipis, para peserta konvoi diiringi wakil dari pihak polis kawasan Daerah Lipis dan Benta bagi menjaga SOP yang ketat. Para peserta tidak dibenarkan beramai-ramai bersama penduduk setempat, hanya sekadar menyerahkan barangan yang dibawa ke pusat pengumpulan atau menyerahkan kepada wakil penduduk “Tok Pat” atau wakil sukarelawan tempatan yang dilantik untuk bersama konvoi dari mula sehingga selesai. Langkah ini diambil demi memastikan tiada pelanggaran PKPB kerana Pahang akan bermula PKP pada keesokkan harinya iaitu pada hari Jumaat 22 Januari, 2021.
Mengenang kembali pelbagai dugaan serta kesukaran Misi Benta 2021 ini untuk mendapatkan permit banjir dari pihak berwajib (E-banjir Pahang) dan pelbagai lagi urusan yang rumit di musim pendemik Covid-19. Kebanyakan negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan, terpaksa ditempuh dengan kesabaran dan kerjasama serta kekuatan Gabungan NGO Utara masing-masing akhirnya dapat diatasi. Konvoi bertolak dari Kadah pada malam Rabu 20 Januari dan selesai segala urusan di Lipis dan Raub pada Khamis 21 Januari 2021.
Alhamdullilah. Misi kemanusian banjir di Benta selesai dan semua amanah yang disampaikan kepada Gabungan Team NGO Utara telah pun disempurnakan pada hari tersebut yang melibatkan sebanyak 5 lokasi pengagihan untuk bantuan. Bagi makluman, semua tempat dalam keadaan kritikal dan teruk akibat musibah banjir yang terletak di Daerah PKOB Lipis antaranya;
1. Kampung kerambit Dalam
2. Kampung Kerambit Luar
3. Kampung Choh
4. Penempatan kos rendah belakang IPD Kuala Lipis
5. Kampung Putu
Pihak NVOG amat bersyukur kerana tamat sudah misi kemanusian bantuan Banjir Ke Benta bersama rakan-rakan Gabungan NGO Utara bagi sesi kali ini. Pihak NVOG & Friends memohon maaf sekiranya ada salah dan silap sepanjang konvoi bersama serta jutaan terima kasih kepada semua yang membantu peserta yang terlibat terutama yang menyumbang bagi memastikan sumbangan dapat disampaikan kepada mangsa-mangsa banjir yang amat memerlukan bantuan. Jika ada umur yang panjang, NVOG akan bergabung sekali lagi. Insya-Allah.
Semua amanah dan sumbangan telah selamat disampaikan. Para peserta bertolak balik ke Utara pada hari Jumaat 22 Januari 2021 dan selamat tiba ke destinasi masing-masing tanpa sebarang musibah. Terima kasih kerana mendoakan perjalanan dan kenangan di Benta akan menjadi memori buat semua peserta.
NVOG Bikers Truckers Misi Benta 2021 tamat.
Perkongsian : Fazrul NVOG