Seramai tujuh orang bikers dari Northern Versys Owners Group & Friends (NVOG) telah terlibat dalam pengembaraan ke Kanchanaburi ke negara gajah putih, Thailand. Kanchanaburi bermaksud (Batu Permata/Kanchana) terletak di sebelah barat Bangkok, berhampiran dengan negara Myanmar (Burma). Menurut sejarah, jambatan River Kwai dibina semasa Perang Dunia ke-2 dan terkenal dengan nama Death Railway. Jambatan yang menghubungkan Thailand dengan Burma ini pernah runtuh diserang pihak bersekutu semasa peperangan tersebut dan dibina semula oleh pihak Jepun pada masa itu.
Hari Pertama
Perjalanan dimulakan seawal 6 pagi waktu Thailand menuju ke Phatthalung dari Pekan Danok, Sadao. Perjalanan sejauh 700km, para peserta berhadapan dengan hujan, banjir kilat serta jalan raya yg sedang dinaik taraf. Tiba di pekan Prachuap Khiri Khan sengan selamat pada jam 9 malam waktu Thailand.
Hari Kedua
Bergerak dari Prachuap Khirikan menuju ke Kanchanaburi, diiringi cuaca cerah sepanjang 400km perjalanan dan tiba ke destinasi pada jam 4 petang. Singgah makan sebelum mencari hotel penginapan untuk bermalam selama 2 hari di Khanchanaburi.
Hari Ketiga
Bertolak ke Death Railway Station yang terletak di sekitar Tham Kasae menaiki kereta api dari stesen kereta api Kanchanaburi ke stesen Tham Kasae yang mengambil masa selama 1 jam. Para peserta dapat merasai keperitan dan seksaan buruh paksaan dari beberapa negara yang dikerah untuk membina jalan dan jambatan kereta api maut ini. Dari sini, para peserta konvoi bergerak ke Erawan National Park dan mengambil peluang menyegarkan badan, bergambar kenangan serta menikmati keindahan pemandangan sekitarnya.
Hari Keempat
Meninggalkan pekan Khancanaburi untuk ke Khao Kao, Route 12. Singgah di LHM Muzium Motosikal di pinggir bandar Khancanaburi. Perjalanan sejauh 445km diteruskan dan tiba di puncak Route 12 pada pukul 7 malam, mendaftar masuk ke Motel Route 12 dan disambut suasana dingin pada 16°c. Para peserta berpeluang melihat keindahan matahari naik di tanah tinggi Khao Kao pada keesokannya. Sampai di Route 12 yang menjadi impian setiap bikers kental dan singgah di Route 12 Cafe Station untuk membeli cenderamata sebagai kenangan.
Hari Kelima
Para peserta konvoi bergerak turun dari Route 12 Khao Kao ke Lop Buri sejauh 308km. Singgah di pekan Phetchabun untuk makan tengah hari sebelum meneruskan perjalanan. Tiba di Lop Buri sekitar pukul 6 petang dan mendaftar masuk ke sebuah resort di bandar tersebut.
Hari Keenam
Bergerak ke ladang bunga matahari yang ada di sepanjang jalan di daerah Lop Buri. Para peserta bergambar kenangan dengan keindahan bunga matahari yang sedang mekar mengikut sinaran matahari. Seterusnya, konvoi bergerak ke Hua Hin dengan jarak perjalanan sejauh 500 km. Singgah di Suphon Buri untuk makan tengah hari. Konvoi mengikut jalan persisiran pantai, mendaftar masuk di sebuah hotel di pinggir Night Market berhampiran stesen kereta api Hua Hin. Malamnya, para peserta membeli cenderahati dan bersiar-siar di Night Market.
Hari Ketujuh
Pengembaraaan ke Mae Klong Train Market dimulakan pada pukul 6.30 pagi dan tiba pada jam 8 pagi. Para peserta sempat merakam perjalanan kereta api melalui kesibukan pasar pagi. Penjaja membuka bumbung dan menutup barangan sebagai laluan kepada kereta api yang lalu. Satu pemandangan yang unik dan tiada di negara lain termasuk Malaysia. Konvoi bergerak ke Floating Market dan balik ke hotel untuk ke Suratthani. Perjalanan sejauh 450km ini diteruskan walaupun cuaca mendung dan tiba ke destinasi dalam hujan yang sangat lebat.
Hari Kelapan
Hari terakhir di Thailand. Dari Suratthani, konvoi bergerak ke Danok sejauh 350km yang mengambil masa selama 4 jam. Tiba di pekan Danok pada jam 3 petang dan makan sebelum bergerak keluar ke Bukit Kayu Hitam. Singgah di D’ Warisan II sempena pembukaan restoran tersebut yang merupakan ahli NVOG & Friends. Bergerak ke R&R Gurun dan disambut meriah oleh rakan-rakan NVOG & Friends yang menunggu kepulangan konvoi Ride to Kanchanaburi – Route 12.
Pelbagai kenangan manis dicipta bersama di sepanjang perjalanan yang secara tidak langsung para peserta konvoi lebih menghargai erti kehidupan serta melihat keindahan dan sejarah di tempat orang. Selain bersyukur kerana pengembaraan kali ini tidak mengalami sebarang kesulitan, para peserta juga berpeluang berjumpa serta berinteraksi dengan bikers dari Malaysia, Singapura dan Thailand yang berkonvoi ke pelbagai destinasi. Kesempatan ini digunakan untuk bergambar kenangan, berkongsi pengalaman dan bercerita tentang aktiviti pemotoran serta minat yang sama.