Mengunjungi Dan Menghargai Tempat-Tempat Bersejarah Di Lenggong!

Kelab Komuniti CRS Perak Official yang diketuai saudara Zam dengan Kerjasama Lenggong TV telah menganjurkan Program Konvoi Ke Lenggong Perak pada 31 Julai yang lalu. Objektif utama program ini adalah untuk memperkenalkan tempat-tempat menarik yang terdapat di sekitar Lenggong, diketuai Pengasas Lenggong TV iaitu Dato Jurey Latif Rosli.

Program kali ini turut disertai Kelab Komuniti dari CRS Malaysia Official, diketuai saudara Paksu Ismail dan saudara Amir Rosli dari Kelab Komuniti RMBC Malaysia. Para peserta konvoi telah di kawasan Rehat Vista Point pada jam 10.00 pagi dan mula bergerak sekitar jam 11.00 pagi.

Destinasi pertama ialah Restoran Talam yang terletak di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak. Restoran yang dimiliki saudara Kamarul Hafzan ini telah menyediakan sajian lauk-pauk kampung yang enak, ditemani persekitaran seolah-olah berada di rumah sendiri. Terima kasih diucapkan kepada krew Restoran Talam yang melayan para peserta dengan baik.

Selesai menjamu selera di Restoran Talam, para peserta konvoi bergerak ke Masjid Ubudiah yang terletak di Bukit Chandan untuk menunaikan Solat Fardhu Zohor terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Lenggong pada jam 2 petang. Konvoi tiba di Teratak Kapten Rosli Lenggong tepat jam 3 petang dan disambut baik oleh pengasas Lenggong TV, Dato Jurey Latiff Rosli yang juga merupakan tokoh perfileman yang disegani di tanahair.

Cuaca mendung dan hujan rintik turut menyambut kedatangan konvoi yang disertai seramai 105 peserta. Konvoi diketuai sendiri Dato Jurey yang menaiki motosikal Yamaha RXZ dan dibantu krew Lenggong TV dalam program melawat tempat-tempat menarik sekitar Lenggong.

Di antaranya ialah:
– Lawatan ke Gua Kajang dan Asar
– Lawatan ke Debu Lava Gunung Berapi
– Lawatan ke Rumah Rusa Jinak Ayah An
– Lawatan Ke Kampung Chepor (Galeri Akiaji)
– Telaga Biru

Program kali ini banyak memberikan manfaat kepada peserta konvoi mengenai tempat-tempat bersejarah yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia. Para peserta turut dimakalumkan tentang sejarah Lenggong semasa di Galeri Aki Aji Kg Chepor, Lenggong.

Sebelum bersurai, kesemua para peserta konvoi mengambil peluang bergambar kenangan besama sebelum berangkat pulang ke destinasi masing-masing. Akhir sekali, Kelab Komuniti Crew RS15O Perak Official dan Lenggong TV mengalu-alukan kedatangan anda untuk bertandang ke Lenggong Kota Warisan bagi menyaksikan sendiri keindahan alam semulajadi yang terdapat di Lenggong, Perak.

Tidak lupa juga jutaan terima kasih kepada Dato Jurey Rosli kerana sudi menjemput kami bertandang ke Teratak beliau dan seterusnya menyantuni kesemua para peserta sepanjang program berlangsung. Insya-Allah kita akan berjumpa lagi di program yang seterusnya.

Perkongsian:
Zam CRS Perak Official