Satu lagi program konvoi telah dianjurkan Kelab Komuniti CRS Perak Official pada 23 Julai lalu sempena Ride Musang King Bike Week di Dataran Arena Perpaduan Pengkalan Hulu Perak. Program konvoi ke Pengkalan Hulu ini juga dianjurkan Adun Pengkalan Hulu iaitu Dato Hj Aznel Ibrahim dengan kerjasama Majlis Daerah Pengkalan Hulu.
Lebih kurang 100 buah motosikal dari seluruh daerah Utara tanah air terlibat dalam program ini yang menawarkan jamuan durian. Terdapat banyak raja buah di daerah Pengkalan Hulu ini. Program dimulakan sekitar pukul jam 11.00 pagi dengan pelbagai aturcara menarik. Antaranya seperti sesi makan buah durian sepuas-puasnya dengan harga RM28 sahaja bagi durian gred kahwin dan RM10 bagi durian kampung. Selepas selesai menjamu selera di Arena Perpaduan Pengkalan Hulu, para peserta konvoi tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama Dato Aznel. Seterusnya, para peserta bergerak ke sempadan Pengkalan Hulu dan Bentong untuk menunaikan solat qasar dan jamak di masjid berhampiran.
Perjalanan diteruskan selepas para peserta selesai menunaikan solat fardu ke hentian seterusnya di Pitstop Route A76 Grik yang dimiliki saudara Azam Abda. Para peserta konvoi tidak melepaskan peluang untuk menjamu selera di sini pula yang terkenal dengan menu utamanya, Clay Pot Asam Pedas dan aneka sup yang enak.
Para peserta konvoi mengambil peluang ini merakam kenangan bersama-sama di Route 76 Grik sebelum bergerak menuju ke Kg Talang yang terletak di Kuala Kangsar untuk sesi minum petang. Terdapat banyak menu yang sedap ada ditawarkan di Restoran Lepak Kampung Talang di samping fasilitinya yang selesa. Di sini, para peserta turut menunaikan solat fardu Maghrib dan bergerak pulang ke destinasi masing-masing pada jam 8.00 malam.
Semoga bertemu lagi di program konvoi yang akan datang. Salam ukhuwah dari CRS Perak Official.
Perkongsian:
Zam CRS Perak Official