Lebih 100 Jentera Dua Roda, Pelbagai Gaya dan Suara, Berkongsi Minat yang Sama.

Langit cerah, deretan jentera berkilat dan bunyi ekzos mula bergema sejak awal pagi di Teluk Batik. Inilah suasana Himpunan Permotoran Perak 2025, sebuah pertemuan besar dunia permotoran yang menghimpunkan pelbagai komuniti dua roda, empat roda dan segala yang berkuasa.

Acara ini dianjurkan oleh Budak Kereta Geng Kita (BKGK), yang diketuai oleh saudara Nik Tajul. BKGK bukan nama asing dalam kalangan peminat automotif tempatan. Hampir setiap bulan, mereka tampil dengan acara permotoran tersendiri di pelbagai lokasi seluruh Semenanjung. Kali ini, Teluk Batik menjadi saksi himpunan besar yang membuka ruang kepada pelbagai segmen, termasuk kereta, lori dan semestinya motosikal.

Lebih 100 buah motosikal mengambil bahagian dalam pertandingan Motorshow, dari gaya retro, custom naked, superbike hingga ke motosikal urban modifikasi ringan. Semuanya tampil dengan identiti tersendiri. Setiap jentera bukan sekadar mesin, tetapi hasil kreativiti dan komitmen pemilik yang mahu tampil berbeza.

Menambah variasi ialah pertandingan Spitfire, yang menguji kekuatan bunyi dan karakter ekzos para peserta. Walaupun kompetitif, suasananya kekal mesra, memperlihatkan semangat komuniti yang datang bukan semata-mata untuk menang, tapi untuk berkenalan, berkongsi minat dan meraikan dunia dua roda bersama-sama.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Syed Alif Rikiman Bin Syed Alwi, Pegawai Khas kepada YB Puan Norhaslinda Binti Zakaria (ADUN Pangkor), selaku wakil rasmi. Kehadiran tokoh tempatan ini memberi isyarat bahawa acara sebegini mendapat tempat dalam kalendar komuniti, bahkan membuka ruang pengiktirafan yang lebih besar kepada dunia permotoran.

Acara yang berlangsung seharian ini dianggarkan menghimpunkan lebih 1,000 peserta, termasuk penyertaan 6 buah lori pameran dan pelbagai kelab permotoran dari seluruh utara. Ia ditutup dengan penyampaian hadiah dan cabutan bertuah. Untuk komuniti motosikal, acara ini bukan sekadar perhimpunan tetapi bukti bahawa semangat dua permotoran terus hidup, berkembang dan dihargai.