Kumaran Buktikan Aktiviti Bermotor Punya Aura

Motorshow atau penganjuran bermotor merupakan satu acara yang semakin popular dalam kalangan peminat sukan motor di Malaysia pada hari ini. Acara ini melibatkan pelbagai aktiviti seperti pameran, pertandingan motosikal cantik atau klasik dan pelbagai barangan motosikal serta banyak lagi.

Penganjuran acara permotoran di Malaysia juga mempunyai pelbagai manfaat dan memberi peluang kepada peminat-peminat motosikal untuk berkumpul dan berkongsi minat yang sama.

“Tidak semua aktiviti permotoran memiliki sisi negatif. Seperti saya, sudah 17 tahun berkecimpung dalam dunia motosikal ini. Apa yang boleh dikatakan aktiviti motosikal ini agak umum.

“Bukan sahaja dari kosmetik semata-mata atau kelajuan yang sering disaksikan mata, malah ada juga aspek lain seperti aspek penjagaan, baik pulih sehinggalah aktiviti berkonvoi.

“Selalunya orang akan ingat bila main (aktiviti) motosikal, pasti terarah perlumbaan haram atau lumba di jalan raya. Tapi dengan bermotor ini juga, saya nak tunjukkan bahawa ada pelbagai aktiviti yang memberikan kesan positif.

“Seperti aktiviti motorshow, ia memerlukan seseorang individu memerah idea kreatif mereka dan di akhirnya dipertontonkan kepada umum (pungunjung).

“Mereka (pengemar aktiviti motoshow) juga amat mahir dalam pembikinan (baik pulih) sesebuah motosikal. Seperti mana Honda C70 atau C90 milik saya ini, dari awal saya beli ia bukan sahaja tidak dapat digunakan malah ada banyak kecacatan sehingga ia berjaya dipulih seperti mana hari ini,” ulas Kumaran Velautham seorang penyelia kilang ICP di Lumut, Perak.

Namun di sebalik hobi dan minat terhadap dunia motosikal, Kumaran yang sudah berkecimpung dalam dunia motosikal sejak berusia 14 tahun mahu membuktikan bahawa kegiatan yang dilakukannya turut memberi faedah dan pengetahuan kepada orang lain.

Kumaran dengan kefasihannya dalam berbahasa Melayu membuatkan penulis lupa bahawa personaliti kali ini bukan kalangan pemilik motosikal dari bangsa Melayu.

Mendengar pertuturan Kumaran yang terdapat loghat orang Perak yang sedikit pekat, penulis cuba mengungkai latar belakang sebenar Kumaran.

“Biasalah bang, duduk kampung malah pergaulan persekitaran kawasan sini kebanyakan bercampur gaul dengan masyarakat Melayu. Begitu juga dengan hobi dengan motor, disebabkan kawan-kawan sekampung juga,” ujar Kumaran yang pada awal agak sangsi dengan panggilan dari penulis.

Mengimbau kembali pembikinannya dalam menghasilkan jentera Honda C70 kepada Honda C90, Kumaran meluahkan kepayahannya untuk memiliki sebuah motosikal ‘evergreen’ seperti ini.

“Sebenarnya, saya sudah lama merancang untuk mendapatkan sebuah motosikal macam ini. Tapi memang agak payah untuk orang lain nak jual model lama ini. Kalau ada pun seperti yang saya dapat (rosak dan perlu dibaik pulih) ini.

“Kadang kala, ada juga saya jumpa model motosikal yang elok, tapi ‘owner’ pulak tak nak jual. Ada kalanya masa pulak yang tak kena sebagai contoh masa ada orang nak jual motor macam ini, saya pulak tak berduit,” ujar Kumaran yang turut mengusahakan Garage Motosikal miliknya dengan nama RK Perak Star Garage.

Menurut Kumaran, dia akhirnya memperolehi model ini setelah agak lama mencari namun jentera yang dia dapati agak teruk dan terpaksa mengeluarkan bajet yang besar untuk membaik pulih. Kumaran membeli motosikal ini sekitar tahun 2021 daripada sebuah bengkel tidak jauh dari kediamannya selepas diberitahu bahawa ‘owner’ asal sudah tidak mampu untuk menanggung kos bagi membaik pulih motosikal ini seperti sediakala.

“Jentera ini didaftarkan pada tahun 1984. Masa tu saya beli motosikal ini dalam keadaan kondisi motosikal 60% rosak dan banyak barang motor sudah hilang.

“Malah, bahagian badan motosikal ini juga terutama di bahagian ekor sudah mula reput. Namun saya ada pelan tersendiri untuk membaik pulih motosikal ini.

“Bak kata orang, “biar lambat laga, asal menang’. Tak kisahlah berapa banyak modal yang terpaksa saya keluar, saya tetap mahukan jentera ini,” beritahu Kumaran kepada penulis secara panjang lebar.

Kumaran menghabiskan masa selama setahun untuk menyiapkan motosikal ini. Namun selepas siap motor dan kelihatan agak menarik, Kumaran mula terfikir untuk tidak menggunakan motosikal ini.

“Asal motosikal ini adalah model C90 namun disebabkan ada perubahan pada bahagian ekor motor ini terpaksalah saya membuat pertukaran dengan mengubah suai kepada ekor plastik seperti mana model C70,” ujar Kumaran yang tidak menggunakan motosikalnya secara kerap selepas berjaya dibaik pulih.

Menyentuh mengenai pembabitannya dalam dunia motorshow, Kumaran menjelaskan bahawa segala-galanya bermula selepas dia menyaksikan sendiri perjalanan pameran itu.

“Pada mulanya memang saya tak berapa yakin nak menyertai motorshow sekali pun ‘projek’ saya sudah siap sepenuhya. Keinginan itu tetap ada selepas diajak oleh rakan yang turut terbabit secara langsung dalam motorshow ini,” ujar Kumaran tatkala ditanya pembabitan pertama dalam pertandingan bermotor.

Antara faktor yang menyebabkan Kumaran kurang yakin untuk menyertai motorshow disebabkan jenteranya masih lagi dalam tahap asas. Tiada pilihan warna yang menarik, malah tiada tema yang menjadi teras untuk motosikalnya.

“Modifikasi yang saya buat atas motor ini adalah warna kuning Ferrari dan tukar head block EX5, karburator EX5 Class 1, lengan ayun EX5 Dream, tangki minyak simpanan, cover depan dan belakang jenis wheel cover fiber. Manakala yang lain semua saya ikut barang asal motor tersebut.

“Pilihan tema pada motosikal adalah watak animasi Pokemon Pikachu kerana rancangan kartun itu menjadi kesukaannya sewaktu zaman kecil lagi,” ujar Kumaran.

Tambahnya, selepas segala persiapan dilakukan barulah dia mendapat sedikit keyakinan dan medan pertama motorshow yang disertai oleh Kumaran adalah pameran yang sering berlangsung sekitar Setiawan dan Lumut.

“Medan pertama saya dalam motorshow adalah pada Warrior Run 2022 yang berlangsung di Lumut, Perak. Dan pertandingan ini menjadi destinasi tetap saya saban tahun sehingga ke hari ini.

“Saya menghabiskan lebih dari 5ribu dan masih ada lagi idea untuk ditambah pada Honda C90 ini. Untuk beberapa komponen, saya terpaksa melakukan pembelian secara online di negara luar terutamanya di Indonesia,” jelas Kumaran berkenaan komponen dan alat ganti motosikalnya.

Ketika ditanya masalah yang dihadapi tatkala ‘mengadaptasi’ Honda C90 sehingga menjadi realiti sehingga kini, Kumaran tidak menafikan dan kadang kala buntu untuk mengatasi masalah tersebut.

“Agak susah juga nak buat semula motor lama ini sebab barang yang dicari agak susah untuk didapati. Namun kerana minat dan kini mula terbabit dalam dunia motorshow, segala kekusutan itu hilang begitu saja.

“Dengan motor, saya beroleh maklumat dan pengetahuan dan yang paling penting, saya mempunyai ramai kawan dari seluruh negara,” ujar Kumaran mengakhiri perbualan bersama penulis.

Sekilas Fakta
Nama Pemilik: Kumaran a/l Velautham
Umur: 31 tahun
Status: Bujang
Kerjaya: Penyelia Kilang (ICP Lumut)
Asal: Changkat Keruing, Pantai Remis, Perak
Perniagaan: RK Perak Star Garage
Jenama Motosikal: Honda
Model: Honda C70/C90
Tahun: 1984
Warna: Kuning Ferrari
Enjin: Standard
Karurator: Honda EX5 Class 1
Komponen:
* Tangki Simpanan Minyak
* Solar Charger Handphone
* Wheel Cover Fiber