Kuasa Triple-Cylinder Dalam Gaya Streetfighter

CFMOTO 675NK 2025 kini secara rasmi memasuki pasaran Malaysia, membawa angin baharu dalam segmen motosikal naked sports. Dengan harga permulaan RM33,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), model ini menawarkan gabungan kuasa, teknologi moden dan reka bentuk agresif yang sesuai untuk penunggang urban dan penggemar prestasi.

Nadi utama kepada CFMOTO 675NK ini ialah enjin tiga silinder sebaris bersesaran 675cc dengan sistem penyejukan cecair. Dilengkapi sistem DOHC dan teknologi suntikan bahan api Bosch EFI, ia mampu menghamburkan kuasa setinggi 94hp pada 11,000rpm dan tork maksimum 70Nm pada 8,250rpm. Dengan prestasi sebegini, CFMOTO 675NK mampu memecut dari sifar ke 100km/j dalam masa kurang 3.9 saat serta mencatat kelajuan tertinggi sehingga 200km/j.

Transmisi enam kelajuan dengan klac assist dan slipper serta quickshifter menaik gear secara standard memberikan pengalaman tunggangan yang lancar dan responsif. Gabungan ini memastikan penunggang dapat menikmati pecutan linear dan kawalan yang lebih baik, sama ada di lebuh raya atau jalan bandar.

Dari segi pengendalian, CFMOTO 675NK dilengkapi suspensi hadapan jenis USD 41mm dan monoshock boleh laras di belakang. Suspensi ini bukan sahaja memberi keselesaan semasa menunggang, tetapi turut meningkatkan kestabilan di selekoh serta ketika membrek secara agresif.

Sistem brek pula menggunakan angkup J Juan dengan cakera berkembar 300mm di bahagian hadapan dan cakera 240mm di belakang, disokong oleh sistem ABS dua saluran. Sistem ini memastikan keselamatan maksimum dalam pelbagai keadaan permukaan jalan.

Rekaan motosikal ini mengekalkan bahasa rekaan generasi kedua NK yang dikenali dengan garis badan aerodinamik dan gaya berani. Lampu LED sepenuhnya dengan rekaan ikonik bukan sahaja menambah aspek visual, tetapi juga meningkatkan keselamatan melalui pencahayaan lebih terang dan berkesan. Ketinggian tempat duduk adalah pada paras 810mm, sesuai untuk pelbagai ketinggian penunggang.

Paparan TFT bersaiz 5 inci menyokong Google Maps melalui sambungan aplikasi CFMOTO RIDE. Paparan ini turut memaparkan maklumat penting seperti kedudukan gear, penggunaan bahan api, dan bacaan tekanan tayar (TPMS). Dua port pengecas USB (Type-A dan Type-C) disediakan untuk kemudahan pengguna.

Tangki bahan api 675NK berkapasiti 15 liter yang diletakkan dengan reka bentuk rendah membantu mengekalkan keseimbangan motosikal serta memberikan jarak perjalanan yang baik. Berat kering motosikal ini hanyalah 189kg, menjadikannya antara model ADV naked sports paling ringan di pasaran ketika ini.

Ditawarkan dalam dua pilihan warna, Glacier White dan Tundra Grey. Setiap pembelian 675NK didatangkan dengan jaminan dua tahun tanpa had perbatuan. CFMOTO Malaysia turut menyediakan pembelian alat ganti tulen secara atas talian untuk kemudahan pemilik. Motosikal ini kini boleh ditempah di semua pengedar sah CFMOTO Malaysia di seluruh negara.

Dengan ciri-ciri canggih, prestasi bertenaga dan gaya yang menawan, CFMOTO 675NK sedia menggugat pesaing dalam segmen naked sports. Ia bukan sahaja mesra pengguna tetapi juga mampu memberi kepuasan tunggangan kepada penunggang baharu mahupun yang berpengalaman.