Berkonvoi motosikal bukan sahaja aktiviti menyeronokkan malah hobi hujung minggu kerap diterjemahkan dalam istilah menggabungkan semangat persahabatan (brotherhood), kebebasan di jalan raya dan kepuasan meneroka tempat-tempat baharu.
Selain dari itu, semangat setiakawan tanpa mengira pangkat dan jenis motosikal adalah perkara paling utama. Dengan berkongsi minat yang sama dengan rakan-rakan, aspek lain seperti saling bantu-membantu jika ada masalah teknikal dan mengenali ahli kelab baharu adalah intipati berkonvoi itu sendiri.
Sebagaimana, konvoi yang dianjurkan oleh Petronas Sprinta baru-baru ini, ia bukan sahaja menyemarakkan lagi aktiviti yang para peserta konvoi kunjungi, malah menyemarakkan semangat tanpa kasta dalam erti sebenar berkonvoi.
PETRONAS Sprinta sekali lagi menyemarakkan semangat komuniti permotoran menerusi penganjuran Konvoi PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2026 yang kembali untuk tahun keempat. Apa yang istimewa, konvoi kali ini mencatatkan penyertaan paling ramai dengan lebih 700 penunggang motosikal daripada pelbagai komuniti, jenama dan kapasiti enjin.
Konvoi tahun ini menghimpunkan pelbagai jenis jentera, daripada motosikal berkapasiti kecil dan sederhana sehingga motosikal berkuasa tinggi daripada jenama seperti Harley-Davidson, Ducati, BMW, Yamaha, Honda, Suzuki, Kawasaki, selain pelbagai jenama dan model lain.
Kepelbagaian jentera serta latar belakang peserta menjadikan konvoi ini satu perhimpunan unik yang menyatukan komuniti motosikal dalam satu perjalanan menuju ke acara permotoran terbesar di Malaysia, MotoGP Sepang.
Konvoi bermula dari PETRONAS Cyberjaya sebelum bergerak secara berkumpulan menuju ke Sepang Circuit dengan iringan pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang bagi membantu memastikan pergerakan konvoi berlangsung dengan teratur dan lancar.
Para peserta turut berkongsi keterujaan dengan kelancaran perjalanan sepanjang konvoi, sekali gus memberikan pengalaman tunggangan yang menyeronokkan serta mengutamakan aspek keselamatan dan disiplin di jalan raya.
Setibanya di Sepang Circuit, semua peserta singgah di Pavilion PETRONAS untuk menikmati suasana serta aktiviti yang disediakan sebelum meneruskan agenda utama menyaksikan aksi perlumbaan dari Main Grandstand.
Penganjuran untuk tahun keempat ini bukan sahaja mengukuhkan Konvoi PETRONAS Sprinta sebagai acara yang dinantikan oleh komuniti motosikal, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara PETRONAS Sprinta dan para penunggang daripelbagai segmen.
Kehadiran lebih 700 peserta tahun ini turut mencerminkan semangat kebersamaan komuniti dua roda yang melangkaui perbezaan jenama, model dan kapasiti enjin. Dengan sambutan yang menggalakkan, PETRONAS Sprinta berharap program seumpama ini dapat terus mendekatkan jenama dengan komuniti motosikal Malaysia, di samping memupuk budaya tunggangan yang selamat, berdisiplin dan penuh semangat persaudaraan.