Kini Tampil Lebih Canggih, Harga Kekal Sama RM33,999!

Tanpa sebarang kenaikan harga, Honda ADV350 versi 2025 hadir ke pasaran Malaysia dengan kemas kini yang menjadikan skuter ini lebih moden dan praktikal. Harga kekal pada RM33,999, tetapi pengguna kini menerima paparan skrin TFT-LCD penuh berwarna bersaiz 5 inci serta sistem sambungan pintar Honda RoadSync.

Melalui teknologi Honda RoadSync, penunggang boleh menyambung telefon pintar untuk mengurus panggilan, muzik dan navigasi dengan mudah. Segala fungsi ini dikawal menerusi suis empat hala yang berlampu di bahagian pemegang kanan sekali gus menjadikan pengalaman menunggang lebih lancar dan selamat.

Selain itu, Honda turut menambah lampu pencahayaan dalam ruang simpanan bawah tempat duduk yang kini boleh memuatkan dua helmet muka penuh. Skuter ini juga dilengkapi indikator automatik yang boleh membatalkan isyarat belok sendiri. Satu ciri berguna ketika berada dalam kesesakan lalu lintas.

Ciri praktikal lain termasuk pelindung angin boleh laras secara manual pada empat tahap (sehingga 133 mm), soket USB-C dalam ruang sarung tangan hadapan, serta pelaras pra-beban untuk penyerap hentakan belakang – membolehkan pelarasan mengikut berat beban atau jenis permukaan jalan.

Dari segi mekanikal, tiada perubahan ketara. ADV350 masih menggunakan enjin 330cc eSP+ satu silinder SOHC penyejukan cecair dengan 4 injap. Ia menghasilkan kuasa 28.9 hp pada 7,500 rpm dan tork 31.9 Nm pada 5,250 rpm, dipadankan bersama transmisi CVT dan pacuan tali sawat.

ADV350 turut hadir dengan rim 15-inci di depan dan 14-inci di belakang, dua saluran ABS, kawalan cengkaman dua mod (termasuk off-mode), brek cakera tunggal 256 mm di depan dan 240 mm di belakang. Berat keseluruhan adalah 186 kg dengan ketinggian tempat duduk 795 mm dan tangki bahan api 11.7 liter. Sistem kunci pintar juga disediakan untuk akses tempat duduk dan penutup tangki.