Kemenangan Bermakna di Mandalika, Sejarah Terindah pada Hari Kebangsaan

Perlumbaan Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia IDEMITSU FIM (ARRC) kelas ASB1000 di Litar Antarabangsa Mandalika, Indonesia menyaksikan detik penuh bersejarah buat Malaysia. Azlan Shah Kamaruzaman, pelumba berpengalaman dari pasukan A1 ENERGY BMW RACING TEAM, muncul juara Race 2 pada 31 Ogos — kemenangan pertama musim ini, sekaligus hadiah terbaik buat tanah air sempena Hari Kebangsaan.

Aksi bermula pantas dengan Hafizh Syahrin Abdullah (JDT Racing Team) menerajui kelompok hadapan, diikuti rapat Keito Abe (SDG HARC-PRO Honda Philippines) dan Nakarin Atiratphuvapat (Honda Racing Thailand). Drama awal tercetus di pusingan ketiga apabila Nakarin terjatuh tetapi sempat meneruskan saingan, membuka ruang kepada Azlan Shah naik ke kelompok hadapan bersama Andi Farid Izdihar (Astra Honda Racing Team) dan Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Racing Malaysia).

Namun, nasib tidak menyebelahi pelumba Malaysia apabila Azroy terjatuh pada pusingan kelima, sebelum Hafizh pula berdepan highside ketika mendahului perlumbaan pada pusingan keenam. Keito mengambil alih kedudukan teratas, tetapi dibayangi rapat oleh Azlan dan Andi.

Menjelang pertengahan perlumbaan, Azlan meningkatkan rentak. Pusingan demi pusingan, jurang dengan Keito semakin rapat hingga kedua-duanya berjaya melepaskan diri hampir lima saat di hadapan kumpulan pelumba lain. Saat penting hadir pada pusingan ke-12 apabila Azlan mempamerkan aksi pintas bersih untuk merampas kedudukan pertama. Walaupun Keito cuba memberi tentangan sengit di penghujung saingan, Azlan kekal tenang sehingga ke garisan penamat dengan catatan masa 20’55.147s.

Keito terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan catatan 20’55.784s, manakala pelumba tuan rumah, Andi, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan 20’59.664s. Dua lagi pelumba yang melengkapkan senarai lima terpantas ialah Muhammad Zaqhwan Zaidi (Idemitsu Honda Racing Malaysia) dan Cameron Dunker (Motogo Yamaha Racing Team).

Bagi Azlan, kemenangan ini hadir dengan penuh makna. Selepas melalui musim yang sukar serta sejarah pahit di Mandalika, beliau akhirnya berjaya menebus maruah di litar yang sama. “Saya pernah hilang motivasi, malah musim ini banyak cabaran dengan jentera dan prestasi diri. Tetapi saya berjanji untuk kekal tenang dan nikmati perlumbaan. Hasil kerja keras pasukan yang tidak mengenal penat lelah akhirnya terbayar. Kemenangan ini saya tujukan buat mereka, semua penyokong, dan yang paling penting, buat Malaysia sempena Hari Merdeka,” katanya dengan penuh emosi.

Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia IDEMITSU FIM (ARRC)
Top 5 Terpantas ASB1000 – Race 2
1. AZLAN SHAH KAMARUZAMAN – A1 ENERGY BMW RACING TEAM (20’55.147s)
2. KEITO ABE – SDG HARC-PRO. HONDA PHILIPPINES (20’55.784s)
3. ANDI FARID IZDIHAR – ASTRA HONDA RACING TEAM (20’59.664s)
4. MUHAMMAD ZAQHWAN ZAIDI – IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA (21’01.620s)
5. CAMERON DUNKER – MOTOGO YAMAHA RACING TEAM (21’08.476s)