Kembali Dengan Lebih Gaya dan Tarikan

Art of Speed Malaysia 2025 (AOS 2025) bakal berlangsung pada 26 dan 27 Julai 2025 di MAEPS Serdang, menampilkan pelbagai elemen kustom kulture tempatan dan antarabangsa. Dengan ruang acara dalaman dan luaran yang luas, AOS kembali sebagai acara tahunan yang paling dinanti oleh peminat automotif, motosikal, seni jalanan dan gaya hidup alternatif.

Acara ini akan turut dimeriahkan oleh kehadiran tokoh-tokoh antarabangsa seperti Shige Suganuma & Wildman Ishii dari MOONEYES Jepun, Brendon Vetuskey (Hot Wheels) dan ramai lagi dari Jepun, Australia, Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina. AOS 2025 juga menampilkan tiga motosikal kustom dari pembina legenda seperti Custom Works Zon, Luck MC, dan Benflathead.

Antara segmen baharu termasuk World of Wheels (WOW) yang dibawakan oleh MotorTakaful.com, studio foto khas untuk Show & Shine, dan kolaborasi eksklusif AOS dengan jenama seperti Hot Wheels, High Cultured, MOONEYES dan FK. Turut diperkenalkan ialah Collectible Alley untuk peminat barangan diecast dan koleksi vintaj.

Acara ini juga menyatukan pelbagai komuniti melalui segmen ThunderCircus Brotherhood Rally (untuk motosikal), Santai Scooterist, dan Roda Rumble. Kembalinya Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) di Dewan C turut dijangka menjadi tarikan utama, menampilkan koleksi eksklusif, jual beli dan pameran oleh komuniti pengumpul tempatan.

Tidak ketinggalan, AOS 2025 akan dimeriahkan dengan SoundCircus Takeover, menampilkan barisan artis popular termasuk Noh Salleh, Ruffedge, Romantic Echoes dan ramai lagi. Zon makanan, flea market, zon test ride dan pelancaran produk juga tersedia sepanjang hujung minggu, menjadikan AOS sebuah festival keluarga yang lengkap.

Tiket kini boleh dibeli secara atas talian menerusi laman rasmi www.artofspeedmy.com. Early Bird Weekend Pass berharga RM35, manakala Sunday Pass bermula dari RM40. Kanak-kanak bawah 12 tahun dan pemegang kad OKU masuk secara percuma. Untuk info lanjut, ikuti laman rasmi Art of Speed Malaysia di Facebook atau laman web mereka.