Setiap orang ada cerita berbeza di sebalik minat mereka dalam aktiviti bermotosikal. Ada yang terpengaruh dengan MotoGP, ada yang suka bersosial dengan kumpulan, ada yang suka menikmati alam sekitar di sepanjang perjalanan konvoi dan tak kurang juga yang beli motor tanpa sebab, mungkin kerana terikut-ikut dan akhirnya motor tersadai tak ditunggang. Kawan saya pun ramai yang macam tu.
Kak Fa Polo atau nama penuhnya Fatimah Ahmad De Polo mungkin antara segelintir rider wanita yang masih setia menunggang motosikal berkuasa tinggi pada usia sebaya ibu saya. Sejujurnya pertama kali bertemunya, saya cukup terkejut. Bayangkan dengan tubuhnya kecil pada usia hampir 60 tahun dan mengendalikan motosikal 1300cc Yamaha FJR. Saya sendiri tak pasti pada usia sedemikian, tubuh badan cukup sihat untuk menunggang motosikal sebesar ini.
Motor ketiga yang dibeli ialah Yamaha V Max yang diguna selama lebih kurang 10 tahun sebelum menjualnya atas desakan suami dan kemudiannya digantikan dengan Yamaha FJR1300. Ternyata, inilah motosikal terbaik yang pernah beliau miliki dan memberitahu dengan yakin, tidak akan menukarnya walaupun sering mendapat tawaran menarik.
Pasangannya, Muhammad Ricardo Francisco Polo Loyola, seorang biker yang memiliki Kawasaki GTR1400 berasal dari Peru, Amerika Selatan. Hidup beliau cukup bahagia dengan empat orang anak yang semuanya sudah dewasa, berumur antara 20 hingga 38 tahun dan juga sudah mempunyai cucu!
Sepertimana rider lain, pengalaman pahit manis menunggang pastinya terpahat dalam hidupnya. Kemalangan? Terlalu banyak kali kemalangan namun, alhamdulillah tiada kecederaan teruk.
Kemalangan jalanraya pertamanya ialah ketika pertama kali menaiki Suzuki Intruder di Cameron Highlands kerana menoleh ke belakang untuk bertanya pembonceng jika dia ok. Apabila sedar, motor sudah terbabas masuk longkang dan patah lampu depan. Beliau bernasib baik kerana hanya kecederaan kecil.
Kemalangan kedua adalah kenangan yang tak dapat dilupakan. Sewaktu menunggang di Sumatera Utara, Kak Fa terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan tulang belakang/belikat fracture tapi tidak disedarinya sehingga beliau pulang ke tanah air!
Kenangan manis juga terlalu banyak untuk diceritakan. Selaku Presiden Bikerz United Motorsports Club, beliau bersama pasukannya berjaya menganjurkan acara untuk Malaysia Book of Records dengan catatan 107 penunggang wanita dengan jentera 500cc ke atas dalam satu pelepasan beberapa tahun lepas.
Ternyata Kak Fa seorang yang sangat peramah. Beliau juga berkongsi pendapat dan juga nasihat kepada golongan muda. Ditanya kenapa masih menunggang, jawapan beliau ialah kerana jiwa. Sudah terlalu lama menunggang motor sehinggakan memandu kereta ke Kuala Lumpur dari rumahnya dari Sungai Buloh adalah satu “beban”. Jalan sesak musuh utama!
“Sekitar tahun 1990 belum ada highway untuk ke selatan mahupun ke utara. Berkereta akan memakan masa yang sangat lama. Contoh, dari KL ke Kuantan memakan masa 6-7 jam sedangkan bermotosikal hanya 2 jam lebih. Sekiranya perlu bawa barang yang banyak, hanya aturkan untuk dipos – pantas dan murah,” ujar beliau.
“Tapi sekarang memang banyak highway, masalahnya lalulintas semakin bertambah dan sesak. Contohnya, dari Sg Buloh ke Ampang, mengambil masa 2 jam setengah sekiranya memandu tetapi hanya setengah jam sekiranya bermotor pada waktu puncak,” tambah beliau lagi.
“Di bulan puasa, ke mana-mana dan bila-bila masa sentiasa sesak! Bermotor menyelesaikan masalah parking walau ke mana dan di mana. Tapi macam biasalah, memang ada cabaran, panas terik, hujan ribut, tayar pancit, kesesakan lalulintas apabila ada kemalangan, berlumba dengan kereta mewah laju dan harga servis yang agak mahal, tapi kalau dikira balik kebaikannya, ia tetap berbaloi,” ujar beliau mengakhiri perbualan.