Jentera Moped Yang Sentiasa Di depan

Sejak model VF3i 185 LE (Edisi Terhad) dilancarkan pada Mei lepas, sambutan luar biasa terhadap jentera moped paling pantas jelas cukup memberangsangkan. Sehubungan itu, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. baru-baru ini telah mengeluarkan sebuah lagi edisi terkini dengan penampilan terbaharu model VF3i 185 Pro atau V3 yang mempunyai variasi tiga warna baharu iaitu merah, biru dan gold atas kehendak pasaran dan pemintaan peminat.

Pengurus Besar Operasi MForce Bike Holdings Sdn. Bhd., Asri Ahmad, berkata VF3i 185 Pro dikeluarkan untuk memenuhi permintaan pasaran di samping mengekalkan ciri-ciri hebat seperti dikuasakan oleh enjin 4-lejang 183cc dengan penyejukan cecair serta mampu mencapai kuasa setinggi 19.7hp pada 9,000 rpm dan 17.4Nm tork pada 7,500 rpm.

Selain itu, sistem brek anti-kunci (ABS) masih kekal ditampilkan pada edisi ini bagi memberikan pemilik jenama SYM satu tunggangan yang lebih selamat. VF3i 185 Pro turut memiliki tangki bahan api terbesar dalam kelas kapcai iaitu 7 liter untuk perjalanan yang lebih jauh. Ia juga dihadirkan bersama enjin suntikan bahan api dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Penampilan cahaya DRL yang terang dan speedometer dengan reka bentuk yang bergaya baru disertakan di edisi Pro ini. Ia turut melepasi piawaian Euro serta ketinggian tempat duduk 790 milimeter demi memastikan keselesaan penunggang. Model terbaru gaya elit ini ditawarkan dengan harga jualan yang mampu milik, RM9,338.00 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. VF3i 185 Pro akan berada di premis-premis pengedar SYM di seluruh Malaysia bermula 15 Oktober 2020.

Pembeli VF3i 185 Pro atau V3 juga boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.