Jenama Letbe Bakal Tentukan Aset Di Malaysia

Dikhabarkan bakal memperkenalkan model pertamanya untuk pasaran Malaysia seawal tahun hadapan, satu lagi jenama motosikal dari China, Letbe, bakal menyemarakkan industri permotoran dua roda tanah air. Menerusi maklumat awal, skuter Letbe Mecha menjadi antara model utama yang kini berada dalam pertimbangan pengedar tempatan, MForce Bike Holdings. Langkah ini susulan kemunculan sulung jenama berkenaan di tanah air sewaktu penganjuran acara MForce MotoXperience pada Mei lalu.

Di pasaran asalnya, Mecha ditawarkan dalam tiga pilihan sesaran enjin iaitu 125 cc, 150 cc dan 200 cc. Kesemua varian ini dijana oleh enjin silinder tunggal dengan sistem suntikan bahan api berserta patuh emisi Euro 5+, yang dipadankan bersama transmisi automatik CVT. Varian 125 cc menjana 12 hp dan tork 12.5 Nm, manakala versi 150 cc menghasilkan 16 hp dan tork 14.7 Nm. Varian tertinggi 200 cc pula membebankan kuasa sehingga 17.5 hp serta tork setinggi 17.6 Nm.

Dari segi penampilan, jentera ini tampil begitu menonjol menerusi reka bentuk berkotak yang unik dan futuristik. Mecha dilengkapi sistem pencahayaan LED sepenuhnya untuk lampu hadapan dan belakang, disertakan lambang Letbe bercahaya serta panel sisi yang boleh berubah warna. Bagi menambah nilai praktikaliti, skuter ini turut menyediakan ruang lantai kaki yang lapang berserta rak bagasi standard di bahagian belakang.

Aspek pengendalian jentera ini disokong oleh rim roda 14 inci di bahagian hadapan dan 13 inci di belakang, yang dipadankan bersama fork teleskopik serta penyerap hentak gas berkembar di bahagian belakang. Tugasan brek pula diserahkan kepada angkup Nissin pada kedua-dua roda, lengkap dengan sistem Brek Antikunci (ABS) saluran kembar secara standard. Tambahan pula, kecekapan tunggangan ditingkatkan lagi dengan kawalan cengkaman (TCS) dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Pelbagai kemudahan moden turut dipadankan pada skuter seberat 145 kg ini, antaranya paparan meter TFT, ruang simpanan bawah tempat duduk dan dua bahagian di dalam cowl hadapan. Bahagian sebelah kiri menyediakan soket kuasa 12-Volt berserta port pengecas USB-A dan USB-C, manakala bahagian kanan menempatkan lubang kunci kecemasan. Ciri-ciri lain merangkumi tangki bahan api 12 liter, sistem kunci pintar (keyless), fungsi henti-mula enjin automatik serta ketinggian pelana 766 mm.

Walaupun pihak MForce Bike Holdings masih belum membuat pengesahan rasmi mengenai penawaran rasmi model Letbe di Malaysia, potensi skuter Mecha ini tetap mencuri tumpuan. Sekiranya dilancarkan kelak, gabungan reka bentuknya yang serba unik bersama penawaran gajet dan kelengkapan yang komprehensif pasti memberi saingan sengit sekali gus memeriahkan lagi segmen skuter tempatan.