Janjikan Saingan Lebih Berprestij, Mencabar & Mengujakan!

Perlumbaan motosikal berformat ketahanan terkemuka negara, BRAAAP 2 Hours (B2H) Endurance kembali mewarnai kalendar sukan pemotoran tempatan. Edisi 2026 dijadualkan berlangsung pada tarikh keramat 31 Ogos depan di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan.

Menjanjikan saingan yang lebih berprestij, mencabar, dan meriah, B2H 2026 terus melakar sejarah sebagai perlumbaan ketahanan Superbike dua jam dan Supersport ‘time attack’ pertama membabitkan jentera berkuasa tinggi yang dianjurkan di Malaysia.

Acara ini mendapat pengiktirafan rasmi daripada Persatuan Sukan Pemotoran Malaysia (MAM) serta disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dengan kerjasama sokongan teknikal daripada jenama tayar antarabangsa, Bridgestone.

Bagi membuktikan penganjuran kali ini berada pada kelas tersendiri, BRAAAP Motorsports selaku penganjur mengambil langkah berani menaik taraf format perlumbaan. Berbanding hanya menggunakan separuh litar pada tahun lalu, edisi kali ini akan menggunakan susun atur litar penuh SIC.

Selain itu, tapak operasi pasukan dan fasiliti perlumbaan akan dipindahkan sepenuhnya ke Paddock Utama SIC. Langkah ini bukan sahaja menyuntik aura kejohanan bertaraf antarabangsa, malah menjamin keselesaan maksimum buat pelumba, kru, serta para penonton yang hadir.

Mengekalkan keunikannya, perlumbaan akan dimulakan dengan gaya ikonik ala perlumbaan 24 Jam Le Mans, di mana para pelumba perlu berlari merentasi trek ke arah jentera masing-masing.

Prestij perlumbaan di litar berstatus Gred 1 FIA ini turut dijangka menarik penyertaan pelumba luar negara. Sebagai syarat keselamatan, setiap pelumba wajib memiliki lesen perlumbaan yang sah daripada MAM (untuk rakyat Malaysia) atau FMN (untuk pelumba antarabangsa).

Pengerusi BRAAAP Motorsports, Azuan Izadee menyatakan komitmen pihaknya untuk menjadikan acara ini sebagai penanda aras baharu dalam kalendar sukan pemotoran dua roda tempatan.

“Maklum balas yang diterima daripada komuniti pemotoran amat luar biasa. Berikutan sokongan padu itu, kami berani mengambil langkah membesarkan skala perlumbaan ke Paddock Utama dan menggunakan litar penuh tahun ini.

“Biarpun terdapat sedikit kekangan berikutan situasi geopolitik global ketika ini, saya yakin cabaran ini dapat diatasi dan perlumbaan akan berjalan lancar. Selain aksi di litar, pelbagai acara luar litar termasuk jualan, pameran, dan cabutan bertuah sedang dirangka untuk pengunjung. Banyak lagi kejutan akan kami umumkan kelak,” jelas beliau.

Bagi pasukan yang berminat untuk menyahut cabaran B2H 2026, penganjur kini menawarkan struktur yuran pendaftaran promosi yang menarik:

Promosi ‘Flash Sale 50’ (Potongan 50%): Sah dari 1 hingga 15 Mei 2026.
Promosi ‘Early Bird’ (Potongan 30%): Sah dari 16 Mei hingga 15 Julai 2026.

Dalam perkembangan berasingan, Azuan turut membawa khabar gembira buat peminat jentera moped atau ‘kapcai’ apabila pihak penganjur kini dalam perancangan untuk merangka perlumbaan khusus bagi kategori berkenaan pada tarikh yang berbeza.