Jalan Raya Bukan Litar Lumba Yang Dilengkapi Pelbagai Keselamatan Perlumbaan

Percaya atau tidak tetapi penulis sering melihat beberapa motosikal memakai tayar lumba yang licin untuk kegunaan atas jalan raya. Walaupun sudah beberapa kali diberitahu dan diberikan amaran oleh pengeluar tayar tetapi masih lagi ramai yang tidak ambil peduli.

Apa tayar licin?
Ia dipanggil sebagai tayar licin kerana tidak mempunyai corak bunga atau alur pada tayar. Ketiadaan atau kurangnya alur membolehkan tayar mencecah bahagian getak maksimum dan tanpa gangguan di atas permukaan atas litar. Selain itu, alur juga boleh menyebabkan tayar cepat panas dan kepanasan ini juga boleh membuatkan tayar mengelupas ketika sedang berlumba di litar.

Jadi, mengapa menggunakan tayar licin perkara yang salah dilakukan? Kesemua pelumba MotoGP dan pelumba profesional lain menggunakan tayar jenis ini untuk menang. Sudah tentu tayar yang digunakan mempunyai cengkaman lebih kuat, bukan? Ya, memang benar dan ianya sangat mahal. Tayar ini juga sangat penting sebagai sebahagian jentera yang laju, betul tak? Kalau ia mempunyai cengkaman yang kuat, bermakna ia sesuai dan selamat juga digunakan untuk penunggangan di jalan raya biasa.

Jadi, kenapa penggunaannya salah di jalan raya biasa tetapi pelumba MotoGP menggunakan tayar licin ini dalam perlumbaan? Tidak salah digunakan di litar tetapi ianya salah jika digunakan atas jalan raya biasa.

Pelik? Mari kita lihat sama-sama.

1. Suhu
Suhu adalah faktor paling penting.

Semua jenis tayar berfungsi dengan cukup baik dalam julat kepanasan atau suhu yang tertentu. Bagaimanapun, tayar licin berfungsi dengan cukup baik sekitar 100 darjah Celsius untuk tayar bahagian hadapan dan 120-darjah untuk tayar bahagian belakang. Ya, lebih panas daripada air yang sedang mendidih.

Oleh kerana itu, pasukan lumba akan membalut pemanas tayar sebelum perlumbaan dimulakan. Pemanas ini disetkan pada suhu 90-darjah Celcius dan dibiarkan sekurang-kurangnya selama sejam. Bagaimanapun, ia hanya sebahagian dari hal sebenar yang mahu disampaikan. Pelumba harus mengekalkan suhu sepanjang perlumbaan. Tahap cengkaman akan mula menurun sekiranya pelumba tidak mampu mengekalkannya.

Mampukah kita mengekalkan suhu yang sama bagi memastikan kepanasan yang diperlukan oleh tayar dengan suhu yang jauh lebih rendah ketika berada di atas jalan raya? Tidak, melainkan anda menunggang macam pelesit dan ia jelas sangat membahayakan. Secara logiknya, terdapat pelbagai kenderaan lain di atas jalan raya, lampu-lampu isyarat, persimpangan dan jalan sesak yang membuatkan penunggang memperlahankan kelajuan motor. Ketika itu, suhu kepanasan tayar juga akan menurun.

2. Kitaran Haba
Proses memanaskan tayar dan membiarkan ia sejuk dan kembali ke suhu normal. Tayar licin bertahan untuk beberapa kitaran haba dan ada masanya hanya lapan kitaran. Secara asasnya, tayar sudah tidak boleh digunakan selepas lengkap beberapa kitaran haba.

3. Keadaan Cuaca
Salah satu faktor terbesar kenapa tayar licin tidak sesuai digunakan di atas jalan raya. Licin bermakna ia hanya boleh digunakan atas permukaan yang kering. Berbeza dengan tayar biasa yang ada alur di mana ia berfungsi memecahkan air di antara tayar dan permukaan jalan bagi memberikan cengkaman yang kuat. Tayar tanpa alur tidak boleh menyingkirkan air dan membuatkan tayar tergelincir.

4. Penalaan Suspensi
Bertukar kepada tayar licin bukanlah perkara mudah kerana ia mempunyai karakter pengendalian yang berbeza serta memerlukan sekurang-kurangnya penalaan pada suspensi. Atau anda perlu menaiktaraf suspensi untuk membuka ruang kepada potensi tayar licin sepenuhnya. Namun, bila anda sudah menala suspensi mengikut tayar licin, motosikal anda tidak lagi selesa digunakan di atas jalan raya.

 

5. Apa Sebenarnya Yang Anda Mahu? Menang Di Jalanan?
Jujurlah kepada diri sendiri. Apakah yang anda mahu capai dengan memakai tayar licin di atas jalan raya? Tayar sejuk yang tidak cukup panas terutamanya tayar licin ini tidak mempunyai cengkaman yang cukup dan amat bahaya ketika mengambil selekoh; apatah lagi jika tayar bergolek di atas tayar di tengah-tengah selekoh!

6. Tayar Biasa Dah Cukup Hebat
Tayar moden jalanan pada hari ini hebat-hebat belaka. Malah, tayar sport-touring juga mengatasi kehebatan tayar sport 5 tahun yang lalu. Ya, ini bukan satu gurauan. Salah satu contoh terbaik adalah Michelin Power5. Tahap cengkaman, kestabilan dan sudut mengerengnya mengatasi skil kebanyakan pelumba.

Tayar sport dan sport-touring juga sesuai digunakan dalam pelbagai keadaan, cepat panas dan tidak memerlukan kerja-kerja pemanasan, lebih selesa, tahan lebih lama dan bertahan lebih banyak kali kitaran haba. Berita baiknya, ia lebih murah selain memberikan banyak lagi kelebihan untuk para penunggang di luar sana.