Impian Ke Litar Lumba Berakhir Ke Modifikasi

Meminati bidang pemotoran sejak di awal usia remaja lagi, Nur Saiful Arif Ajit sememangnya sudah menanamkan impian untuk menjadi pelumba dan beraksi di atas litar tarmac. Sejak di usia muda, Saiful atau lebih senang dengan sapaan Epol kerap bermain basikal dan sering mengimpikan menjadi seorang pelumba motosikal tanah air di masa depan satu ketika nanti.

Namun cita-cita Epol nampak masih belum kesampaian lagi. Bagaimana pun, minat terhadap dunia dua roda tidak terhenti sahaja di situ. Epol mengambil keputusan menyambung belajar dalam bidang kejuruteraan di Politeknik Sultan Ahmad Shah Kuantan, atas minat yang cukup mendalam terhadap jentera motosikal. Malah motosikal pertama RX100 Yamaha versi klasik yang dimiliknya menjadi mangsa inspirasi tidak kesampaiannya. Sekadar berlandaskan minat dan kemahiran kejuruteraan, Epol berjaya memodifikasikan RX100 menjadi bentuk café racer.

Pergaulan bersama beberapa kumpulan motosikal dengan menyertai perbagai jenis kumpulan pemotoran dari retro hingga ke motor berkuasa besar, citarasanya terus bertukar dari segmen klasik ke jentera yang lebih berkuasa besar seperti Yamaha MT09.

“Sejak dari itu saya mula berlatih mengenal apa jua jenis motosikal. Baik klasik retro atau jentera moden semua saya bikin. Alhamdulillah, walaupun impian untuk menjadi seorang pelumba belum lagi kesampaian, namun nukilan (modfikasi) ke atas motosikal sedikit sebanyak menjadi pengubat hasrat tak kesampaian,” ujar Saiful ketika membicarakan pembabitan awal dalam dunia modifikasi motosikal.

Berkongsi hidup dengan pasangnya Faridah Hanim Mohd Farid yang juga mempunyai minat yang sama terhadap motosikal menjadikan pasangan suami-isteri ini sesuatu yang unik sekali gus menjadikan impian mereka kembali menyala semula.

“Hampir tiga tahun terlibat dalam pelbagai aktiviti berkumpulan pemotoran malah saya juga berjumpa dengan pasangan hidup saya yang juga penggemar dan pemilik motosikal berkuasa besar.

“Selepas berkahwin, disebabkan saya dan isteri cenderung terhadap minat yang sama dalam sukan pemotoran dan aktiviti bermotor secara tidak langsung cinta kami terhadap motosikal semakin berkembang. Kerana itu, Peiso Motor Garage (Garaj Motor Pelumba – dalam bahasa Itali) adalah ilham kami (suami-isteri) untuk mengembangkan minat dan keinginan kami dalam dunia permotoran ini,” ujar Epol ketika membicarakan episod awal kehidupannya.

Bercerita mengenai modifikasi yang menjadi hobi mereka dan krew Peiso Motor Garage, ia bermula pada ketika fenomena anak muda kepada jentera Yamaha Y15 atau lebih sinonim dengan gelaran YSuku di kalangan kaki motor. Di waktu itu, tsunami YSuku cukup besar sehingga pasangan Epol dan Fyda (gelaran isteri) turut membeli jenama Yamaha itu untuk ujian pertama mereka dalam memodifikasikan sebuah motosikal.

Menurut Epol, pada mulanya niat hanya ingin mendekorasikan aksesori motor. Sesiapa saja boleh membeli coverset dari keluaran Malaysia hingga keluaran limited edition luar negara dan ramai yang sanggup membayar beribu-ribu ringgit untuk memilikinya.

“Untuk memodifikasikan motor ini saya tidak mahu mengeluarkan belanja yang besar memandangkan membuat proses modifikasi di kalangan kami sahaja (isteri dan team Peiso Motor Garage). Pada mulanya, saya sekadar ingin mendekorasi motor luaran sahaja,” jelas Epol ketika membicarakan mengenai jentera modifikasi pada peringkat awal.”

“Daripada model DoXou (Yamaha 15ZR) saya ingin menampilkan imej yang berbeza. Idea saya adalah mengenakan corak dari coverset pasukan MotoGP2- Pull&Bear Team Nieto KTM-2019 yang berwarna hitam, putih dan gold. Menariknya, isteri saya juga tampil menghasilkan grafik yang lebih segar, dilukis dalam ilustrasi berkomputer dan bergabung idea bersama Unicorn Graphic.”

“Saya memberi sepenuh kepercayaan kepada Unicorn Graphic di atas kualiti dan ketelitian hasil kerja mereka dalam membalut sticker dengan menggunakan jenama 3M, dan 2k spray untuk menanam tampalan pelekat dan menambahkan lagi kekemasan.


“Jika corak yang dikenakan ke atas motor besar sudah biasa kita lihat sebaliknya apabila dikenakan pada motor kecil ia jauh lebih menyerlah. Bahkan, hasilnya juga mengujakan saya dan juga kesemua krew Peiso Motor Garage.

“Terus-terang saya katakan, impak yang dihasilkan pada jentera ini menampilkan imej yang sangat luar biasa,” ujar Epol graduan muda yang memiliki diploma kejuruteraan dari Politeknik Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang ini.

Menyandarkan penggunaan tiga warna berbeza, Yamaha DoXou milik Epol tampak anggun bergaya seakan menyerlahkan ciri-ciri kemewahan tatkala dipadankan pula dengan warna-warna chrome titanium pada rim sukan jenis Enkei, Arm BST asal Thailand, pelindung enjin, cover mono dan dari sekecil skrew badan jentera hingga ke cover set. Untuk maklumat, kesemua pemprosesan chrome dilakukan oleh Epol dan semua krew Peiso Motor Garage.

Manakala barang lain turut ditambah baik dan dipadankan demi mencapai corak penunggangan yang menyakinkan seperti suspense belakang Mono Racing –YSS, fork spring jenis perlumbaan pemijak kaki jenis Racing Boy, kaliper dari jenis Racing Boy, hose morin, brek lever jenama Nissin, liver guard jenis karbon dan pelana dari King Drag.

Menambahkan lagi keunikan dan prestasi yang lebih mantap, Epol menggunakan ECU-SHOP- Full stand dari Thailand. Banyak kelebihan tatkala digunakan malah dari segi prestasi enjin dan kelajuan motor ia berjaya dipertingkatkan. Untuk rekod juga, kesemua pelarasan dan talaan juga turut dilakukan sendiri di kedai Peiso Motor Garage.

Jenama buatan tempatan,Dry Clutch Tonka turut digunakan bagi memberi kesimbangan antara produk dari luar dan kualiti dari tempatan. Ekzos OPBR dari Thailand dipadankan bagi memberi lantunan bunyi yang padu dan pelancaran angin yang cukup baik.

Beberapa bahagian dalaman enjin turut mengalami perubahan. Barang seperti performance full spec-62 dari jenama UMA Racing, ESR dan beberapa komponen lain turut dikenakan dalam jentera ini. Disebabkan viral menerusi sosial media, Epol yang pada awalnya sekadar menjadikan jentera yang siap dimodifikasi sebagai tatapan pelanggan di Peiso Motor Garage akur dengan permintaan pengurusan acara selepas menerima banyak undangan untuk mempamerkan jentera ini.

“Pertunjukan pertama nyata sangat mengujakan. Walaupun kali pertama kami sertai, Yamaha DoXou milik Peiso Motor Garage terus menarik perhatian pengunjung dan paling best ia pernah beberapa kali muncul juara walaupun tahun itu baru kali pertama kami merasai suasana pertunjukkan motosikal sebegini,” ujar Epol mengimbas pencapaian krew pasukan Peiso Motor Garage di arena pertunjukan motosikal tempatan.

SEKILAS FAKTA
Nama : Nur Saiful Arif Ajit
Panggilan : Epul
IG : saifularif25
Tarikh Lahir : 25 Mei 1990
Tempat Lahir : Kuala Lumpur
Keluarga : Anak Bongsu dari 4 beradik
Status : Berkahwin
Isteri : Faridah Hanim Mohd Farid
Pendidikan : Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS)
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam/
Owner : Peiso Motor Garage
IG : @peiso_motorgarage)
Tempat tinggal: Gombak, Selangor

Jentera Dimiliki:
1. KAWASAKI ZX10R 2013
2. YAMAHA Y15ZR (2biji)
a. CUSTOM TAYAR BESAR b. CUSTOM TAYAR KECIL
3. YAMAHA LC135 (3biji) Motosikal
 Jenis : Y15ZR (DoXou)
 Tahun : 2019

Tahun 2019
1. Big Sumo International Autoshow, Port Dickson
a. Best of Dry Clutch
b. Best of the Custom 4T
c. Best of the Best Wrap
d. 2 nd Runner Y15zr

2. SCM, Port Dickson
a. Johan 4T
b. Johan Chrome

3. Y15ZR Festival- Penang
a. Drag 201M –Top 10
b. Drag 4T Open- Top 10

Tahun 2020
1. Karnival Pemotoran/Makan Taman Medan V.1
– Juara Motor 4T
2. Teluk Kemang Bike Week, Port Dickson.
– Juara Motor 4T Kategori Terbuka
3. Northern Yamaha Gathering, Batu Gajah,Perak.
– Juara 4T
– Juara Y15zr
4. Motofest Perak Retro Fest, Bukit Merah.
– Juara Kategori Terbuka 4T
5. Supermoped 2020, RTC Gopeng,Perak.
– Naib Juara Y15ZR Modi Terbuka

Gambar : Fuad Ipoh