Hujan Bukan Penghalang Misi Dominasi Pusingan Pembuka Di Litar Antarabangsa Sepang

Pusingan 1 Kejuaraan Malaysia Superbike (MSBK) 2026 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang melabuhkan tirainya dengan penuh drama, terutamanya dalam perlumbaan kedua yang menyaksikan persaingan sengit merentas tiga kategori utama. Faktor cuaca yang tidak menentu memaksa para pelumba mempamerkan kematangan dan kemahiran luar biasa untuk menakluk litar yang mencabar.

Dalam kategori elit MSBK1000 A, Mohammad Adenanta Putra daripada Astra Honda Racing Team bangkit dengan aksi cukup tenang untuk merangkul kejuaraan. Perlumbaan yang terpaksa dipendekkan kepada tujuh pusingan akibat hujan lebat itu menyaksikan Adenanta bijak mengawal tekanan sebelum melakukan pintasan penentu pada penghujung saingan.

Pelumba negara, Muhd Zaqhwan Zaidi, pada mulanya memimpin perlumbaan dengan kepantasan luar biasa mencecah 282km/j meskipun dalam litar basah. Bagaimanapun, Azlan Shah Kamaruzaman daripada AMI Suzuki Motorsport turut memberi saingan hebat apabila berjaya mencatatkan masa pusingan terpantas sehingga sempat memintas Zaqhwan untuk merebut kedudukan di hadapan.

Kemuncak debaran berlaku pada pusingan keenam apabila Adenanta berjaya memintas Azlan Shah dengan gerakan yang kemas dan tekal untuk terus memimpin sehingga ke garisan penamat. Adenanta muncul juara dengan catatan masa 17’14.132s, diikuti oleh Azlan Shah di tempat kedua dan Zaqhwan Zaidi melengkapkan podium di tempat ketiga.

Beralih ke kategori MSBK600, Thanat Laoongplio daripada Honda Racing Thailand mempamerkan penguasaan mutlak dengan kemenangan lights-to-flag. Sejak awal perlumbaan, beliau mempamerkan tunggangan yang sangat konsisten, meninggalkan pencabar terdekatnya, Khairul Idham Pawi, yang cuba memberi asakan sepanjang saingan.

Thanat membuktikan kualitinya apabila mencatatkan pusingan terpantas pada pusingan ketiga dan terus melebarkan jurang masa sehingga 3.318 saat pada pusingan kelapan. Beliau melintasi garisan penamat dengan selesa melalui catatan masa 22’21.178s dan menyapu bersih kemenangan sempurna pada hujung minggu pusingan pembuka ini.

Pelumba negara, Khairul Idham Pawi, terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas berhempas-pulas mengendalikan prestasi tayar dan brek jenteranya. Kedudukan podium ketiga pula menjadi milik Muhd Naqib Rifqi Zulhelmi, yang berjaya mengekalkan rentak tunggangan yang stabil untuk menamatkan perlumbaan di hadapan kelompok pencabar lain.

Saingan kategori MSBK250 A pula menghadirkan aksi paling dramatik apabila Irfan Ardiansyah daripada NWN CZ1 SCK Racing Team berjaya meraih kemenangan berganda. Beliau terlibat dalam pertarungan sengit “satu lawan satu” dengan pelumba Motul Honda Racing Malaysia, Md Irfan Haykhal Amidi, sehingga ke selekoh terakhir perlumbaan.

Drama memuncak apabila Haykhal cuba melakukan gerakan berani di selekoh terakhir untuk memintas, namun beliau tersasar sedikit sewaktu keluar dari selekoh tersebut. Irfan Ardiansyah yang sangat berpengalaman bijak mengambil peluang untuk memintas semula di laluan lurus terakhir dan menang dengan perbezaan masa yang amat tipis iaitu hanya 0.106 saat.

Keputusan rasmi kategori MSBK250 A menyaksikan Irfan Ardiansyah di tempat pertama dengan masa 19’43.732s, diikuti Md Irfan Haykhal Amidi di tangga kedua. Tempat ketiga pula dirangkul oleh Nazirul Izzat Md Bahauddin daripada Team ACR, sekali gus melengkapkan barisan podium bagi pusingan pertama yang penuh dengan aksi mendebarkan ini.

Top 3 Terpantas – MSBK1000 A
1. Mohammad Adenanta Putra – Astra Honda Racing Team (17’14.132s)
2. Azlan Shah Kamaruzaman – AMI Suzuki Motorsport (17’16.001s)
3. Muhd Zaqwhan Zaidi – Malaysia (17’16.937s)

Top 3 Terpantas – MSBK600
1. Thanat Laoongplio – Honda Racing Thailand (22’21.178s)
2. Khairul Idham Pawi – Malaysia (22’25.779s)
3. Muhd Naqib Rifqi Zulhelmi – Malaysia (22’41.805s)

Top 3 Terpantas – Msbk250 A
1. Irfan Ardiansyah – Nwn Cz1 Sck Racing Team (19’43.732s)
2. Md Irfan Haykhal Amidi – Motul Honda Racing Malaysia (19’43.838s)
3. Nazirul Izzat Md Bahauddin – Team Acr (19’48.238s)