Honda EX5, Sentuhan Magis Din Tegar

“Sebenarnya saya tengah ‘polish’ ilmu yang dipelajari. Rugi rasanya belajar bertahun tapi tidak digunakan,” tegas anak muda yang sentiasa murah dengan senyuman dan happy-go-lucky ini. Siapakah beliau?

Mohammad Sharifuddin Jaafar, suatu nama yang agak tersohor dan tidak asing lagi di utara Semenanjung, khususnya di kalangan pemilik Street Cub dan juga peminat Autoshow. Kemunculan beliau sentiasa dinanti-nantikan peminat Autoshow. Din Tegar, itulah gelaran atau nama glamor beliau. Anak sulung dari 7 adik-beradik ini adalah anak jati Sg Petani, Kedah. Apa yang menarik perhatian kami hingga terbitnya paparan kisah beliau dan motor Street Cub miliknya ialah kata-kata yang diucapkan beliau

“Jangan terkejut dengan motor saya, hak lain semua mahal-mahal tapi ada aksesori basikal yang terpasang di Street Cub ni”.

Tidak dinafikan, kreativiti dan perancangan rapi terserlah apabila diteliti secara terperinci motor street cub beliau ini. Din Tegar yang memiliki Diploma Pengurusan Automotif merupakan muka baru dalam Autoshow. Keunikan ilham cipta serta gabungan elemen dari pelbagai jenis motor telah berjaya menarik perhatian juri-juri yang mengadili di setiap pertandingan Autoshow yang beliau sertai. Siapa sangka dan percaya asalnya sebuah Honda EX5 telah berubah rupa hinggakan ramai tertanya-tanya keaslian motor tersebut.

Honda EX5 tersebut dibeli pada tahun lepas. Beliau memilih untuk melakukan kerja modifikasi apabila diajukan persoalan tentang mendirikan rumahtangga oleh kedua orang tuanya. Beliau membuka peluang kepada adik-adiknya agar berkahwin dahulu. Galakan dari rakan-rakan agar menyertai pertandingan Autoshow telah menyemarakkan semangat beliau untuk menambahkan lagi kecantikan motornya untuk meraih perhatian pihak juri.

Sebaik sahaja melihat kedua tayar depan dan belakang motor tersebut, sesiapa pasti tertarik kerana ia menggunakan saiz yang selalunya diguna pakai oleh Kawasaki Versys 650. Tayar depannya bersaiz 120/17/50 dan tayar belakang bersaiz 160/17/50. Pengunaan saiz tayar tersebut menampakkan kehebatan motor. Imaginasi anak jati Sg Petani ini menjadi kenyataan di mana pengunaan handle bar yang selalunya digunakan untuk acara spring test telah dipasang pada street cub kesayangannya. Alasannya, beliau ingin sekurang-kurangnya menikmati perasaan Sprint Test walau pada hakikatnya tidak mampu ke arah itu.

Fork depan yang asal telah digantikan dengan fork Kawasaki Kips sementara suspensi belakang mengunakan jenama Kozi. Sistem brek depan dipasang disc brek Kawasaki Kips dan belakang menggunakan disc brek Yamaha 125Z. Untuk menampakkan lebih klasik, beliau memasang meter jenama Koso yang kecil dan sederhana. Tidak lengkap sebuah motosikal tanpa lampu depan. Demikian juga dengan Street Cub ini yang begitu comel dan memang tepat sekali pengunaaan lampu depan dari Honda C 70. Ringkas tapi sentuhan yang menjadi. Idea bernas Din Tegar serta bantuan pakar modifikasi Street Cub dari Banana Garage Sg Petani, gabungan tenaga yang cukup mantap. Jelas sekali, bukan senang untuk menghasilkan sebuah Street Cub kerana ia memerlukan tumpuan agar hasil akhirnya berjaya memikat hati.

Bagi memastikan Honda EX5 ini tampil canggih dan berbeza berbanding Street Cub yang lain, Din Tegar menambahkan besi yang dipasangkan selaras dari pemegang suspensi hingga ke tangki minyak. Sentuhan berbisa dari Banana Garage bagi menampilkan keanggunan motor jelas kelihatan apabila kusyen yang direka khas bersalutkan kulit lembut disulami tiga warna tulisan Kusyen Bride.

Tidak lengkap sebuah motosikal seandainya sekadar hiasan tanpa keupayaan enjin. Justeru itu, Din Tegar bersama Banana Garage telah melakukan sedikit modifikasi terhadap enjin Honda EX5 ini untuk melahirkan sebuah Street Cub yang lengkap dari pelbagai sudut. Kaburetor Jenama UMA dipasang bagi menggantikan yang asal. Sementara itu, sedikit penambahan pada block dilakukan di bahagian dalaman enjin. Tanpa kenyaringan bunyi dan mantap, hilanglah taring sebuah motor. Demi menghasilkan bunyi yang sedap didengari serta tidak menimbulkan gangguan kepada umum ekzos jenama AHM PRO RACING di pasangkan.

Bermula dari Pertandingan Autoshow di Bukit Merah Lake Town dan disusuli di Lumut dan beberapa tempat lagi, Din Tegar sentiasa mendapat perhatian juri. Beliau mendapat tempat ke-4 di Bukit Merah Autoshow, tempat ke-5 di Teluk Batik Autoshow dan terkini tempat ke-2 di Sg Petani. Kejayaan yang boleh dibanggakan sebagai muka baru di persada dunia Autoshow.

 

Swing Arm belakang Modenas yang dimodifikasi telah dipasangkan. Tujuannya adalah untuk pengunaan tayar besar. Spoket depan bersaiz 14 inci dan spoket belakang pula bersaiz 30 inci. Pengunaan saiz spoket tersebut adalah berbeza dengan kapcai biasa. Berdasarkan saiz tayar yang besar, ia memerlukan lebih daya tarikan. Manakala pemijak kaki atau foot rest yang dipasangkan pula merupakan pemijak kaki basikal BMX! Siapa sangka, pemijak yang asalnya digunakan untuk basikal telah dipasang untuk tujuan modifikasi pada motosikal Street Cub sekaligus menambahkan serinya. Kira-kira, sebanyak Rm 5k telah dibelanjakan Din Tegar dalam menghasilkan Street Cub yang cukup lengkap dan unik ini.

Bercita-cita membawa Street Cub miliknya ini ke luar negara suatu hari nanti dan cita-citanya ini sentiasa mendapat galakan keluarga serta rakan-rakan. Beliau yang membantu kedua orang tuanya berniaga di kedai makan Pasar Taman Ria, Sg Petani, menganggap ikatan persahabatan yang kukuh serta saling bertukar pandangan merupakan sesuatu yang harus dimiliki setiap bikers. Selain itu, imaginasi dan kreativiti merupakan gabungan elemen penting dalam menghasilkan sebuah Street Cub yang mempunyai kelasnya tersendiri.