Himpunan Pemilik & Peminat Daripada Dua Jenama Berbeza, Meriah Dengan Pelbagai Aktiviti

Tidak seperti himpunan motosikal biasa, penganjuran Yamaha PG-1 & Aveta Ranger Gathering (Greet & Meet) yang berlangsung Ahad lepas berjaya mencipta kelainan tersendiri apabila menghimpunkan pemilik dan peminat daripada dua jenama berbeza dalam satu acara penuh meriah.

Program bertarikh 6 September 2026 itu bermula jam 5.00 petang hingga 8.30 malam bertempat di Bikerz Garaj, Bandar Sri Permaisuri. Acara mesra santai ini berjaya menarik kehadiran seramai 80 orang pemilik motosikal kedua-dua model terbabit yang turut digalakkan membawa kerusi “healing”, meja serta kelengkapan membancuh kopi sendiri.

Tepat jam 5.00 petang, ketibaan para peserta dimulakan dengan pendaftaran di hadapan kedai sebelum meneruskan sesi free & easy untuk beramah mesra sesama komuniti penunggang. Suasana kemudiannya disemarakkan lagi pada jam 5.30 petang menerusi pelbagai aktiviti serta acara permainan menarik yang disediakan oleh pihak penganjur.

Antara pengisian utama yang diadakan termasuklah Fun Bike Games seperti acara tunggangan ekstrem dan tunggangan perlahan, penganugerahan Bikers Kental PG-1 serta pertandingan Best Custom Bike. Penganjur turut menyediakan ruang solat di tingkat satu Bikerz Garaj bagi memudahkan para peserta menunaikan solat Maghrib pada jam 7.20 malam.

Pertandingan motosikal cantik menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan peserta. Kok Lim yang datang jauh dari Seremban akhirnya terpilih sebagai pemenang motosikal tercantik bagi kategori Aveta Ranger, manakala Imran Ithnin pula muncul juara kategori Yamaha PG-1 selepas berjaya menewaskan 10 peserta yang lain.

Kemuncak penganjuran dimeriahkan dengan acara Grand Lucky Draw pada jam 8.15 malam yang menawarkan pelbagai hadiah menarik. Antara hadiah utama yang menjadi rebutan para peserta termasuklah topi keledar bertutup penuh jenama AXOR M-Cross dan MHR Tracker, interkom jenama LEXIN serta pelbagai cenderahati sebelum majlis bersurai sepenuhnya pada jam 8.30 malam.