Himpunan Motosikal Menceriakan Lagi Suasana

Motor Klasik Nite Pesta Pulau Pinang 2022 yang diadakan baru-baru ini berjaya menghimpunkan para peminat dua roda khususnya motor klasik bukan sahaja yang datang dari Pulau Pinang sendiri, malah ada yang datang dari negeri-negeri lain. Bagi memeriahkan lagi suasana, pihak penganjur telah bekerjasama dengan Sahabat Belia Pulau Pinang dan Pymc Station Motorsport bagi menganjurkan pertandingan Autoshow Motosikal.

Bertempat di Dewan Tertutup A, program telah dimulakan dari pukul 6 petang sehingga 12 malam. Walaupun diadakan pada hari bekerja dan waktu malam, sambutan yang diterima amat baik khususnya dari para peserta.

Lebih kurang 50 buah motosikal telah menyertai program ini
dengan pelbagai kategori dipertandingkan. Antara kategori yang disediakan termasuk Extreme Modi, Standard Modi, Klasik/Retro, Spray Can, Airbrush dan Sticker.

Selain itu, tapak program turut diserikan lagi dengan pameran Motosikal Street Cub dan Custom. Program diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang yang berjaya mengungguli setiap kategori.