Himpun Dan Tarik Minat Belia, Raikan Permotoran Dan Tambah Pengetahuan

Bertempat di perkarangan Dataran Drawbridge telah berlangsungnya Geng Y Mega Gathering Vol 1 yang dianjurkan oleh Kelab Geng Motosikal Terengganu dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu. Program yang diadakan selama tiga hari bermula dari 29 Julai hingga 31 Julai ini telah dipadatkan dengan pelbagai aktiviti menarik bagi meraikan para peminat permotoran dua roda amnya dan pemilik motosikal Y15 dan Y16 khususnya.

Perhimpunan berskala besar ini melibatkan golongan anak muda yang meminati motosikal 4-lejang dari jenama Yamaha Y15 dan Yamaha16. Program ini diserikan pelbagai aktiviti lain, namun yang mendapat perhatian ramai pastinya pertandingan motosikal, perarakkan motosikal dan macam-macam lagi. Tidak ketinggalan juga, aktiviti yang melibatkan golongan kanak-kanak seperti pertandingan mewarna dan aktiviti sukaneka khas untuk golongan ibu bapa pada hari pertama.

Dianjurkan buat kali pertama ini telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Ahmad Samsuri Bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu. Program ini berjaya menarik minat golongan belia khususnya anak-anak muda untuk beriadah secara positif dalam meminati lapangan permotoran. Selain itu, program ini turut diserikan dengan majlis ilmu agama yang menampilkan tokoh-tokoh seperti Ustaz Ahmad Dusuki, Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Kamaruzaman dan ramai lagi.

Program ini juga turut memberi ruang dan peluang kepada para pengunjung untuk melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan seperti derma darah dan menerima sambutan menggalakkan. Dalam masa sama, ia juga memupuk semangat kebersamaan serta melahirkan individu yang seimbang dari segi intelek, sosial dan juga agama.

Pada awalnya, pihak penganjur menjangkakan penyertaan dari peminat dunia permotoran dan pemilik motosikal Yamaha Y15 dan Y16 dari seluruh Terengganu, ada juga peserta yang datang dari Kuala Lumpur. Malah, mereka bergerak seawal dua pagi untuk tiba awal di tapak program. Tahniah kepada para peserta yang muncul sebagai pemenang sepanjang program berlangsung khususnya para pemenang segmen cabutan bertuah yang memenangi hadiah-hadiah menarik termasuk motosikal dan juga umrah.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak penganjur dan juga barisan penaja yang bertungkus-lumus dalam memastikan program berjalan dengan lancar. Tahniah juga diucapkan kepada para peserta khususnya pemilik Yamaha Y15 dan Y16 yang turun memberikan sokongan. Semoga program yang sama terus diadakan di masa hadapan dan sama-sama membentuk generasi yang beriadah secara positif, seimbang dari segi intelek, sosial dan juga agama.