Harley Davidson Street 750 Tampil Dengan Perubahan Drastik Tapi Unik!

Dunia kustom motosikal Harley Davidson boleh dipecahkan kepada beberapa golongan tetapi apa yang pasti, setiap motor kustom ini mempunyai daya tarikan sendiri yang istimewa membuatkan sesiapa yang memandang pasti akan ingat sampai bila-bila. Salah satu contoh yang paling jelas boleh dilihat adalah motosikal Street 750 ini.

Sewaktu dikeluarkan, kejadian motosikal Street 750 tidak berbeza dengan model yang lain. Tangkas dan bersedia untuk membelah jalan raya dengan kelincahannya. Setelah dikustom oleh sebuah kedai yang dikenali sebagai Bad Land, ia tidak lagi kelihatan seperti jentera dua roda Harley Davidson yang dibina pada tahun 2017. Diubah secara drastik, ia juga diberikan nama baru iaitu Akira.

Dua perkara yang benar-benar menarik perhatian sebaik sahaja melihat motor. Pertamanya, fork depan emas Ohlin dan rim solid-design yang direka oleh Rick’s MotorCycles berukuran 19-inci di bahagian depan dan 18-inci di bahagian belakang yang dibaluti dengan tayar Avon Cobra.

Elemen yang mengubah penampilan Street 750 ini adalah kombinasi fender depan kustom, lampu utama kustom dan juga sistem ekzos unik yang kesemuanya dihasilkan sendiri oleh Bad Land. Bukan sahaja dari Bad Land, malah beberapa jenama lain turut dipasangkan kepada motor ini seterusnya melengkapinya sebagai sebuah motor berwajah baru secara keseluruhannya. Antara yang digunakan termasuk kaliper brek Brembo, kit kawalan Performance Machines serta cermin dan lampu LED dari Ken’s Factory.

Namun begitu, enjin masih menggunakan stok lama dari kilang dan kekal tidak disentuh kecuali sistem eksoznya.

Sumber : Autoevolution