Harley-Davidson FXD Super Glide 2026 Edisi Terhad

Satu nama besar yang amat disegani daripada Harley-Davidson (H-D) kini kembali, iaitu Harley-Davidson FXD Super Glide 2026. Ditawarkan dalam jumlah yang sangat terhad iaitu hanya 2,500 unit sahaja di seluruh dunia, model edisi khas ini membawa kita mengimbau kembali era kegemilangan jentera cruiser Amerika sekitar tahun 1970-an.

Reka Bentuk Klasik Gaya Kustom California
Dibina berasaskan model asal FX tahun 1971, Super Glide 2026 ini tampil dengan layangan warna premium White Onyx Pearl bersama grafik tangki vintaj, sekali gus membawakan semula reka bentuk ikonik cruiser kelas California. Jentera ini sarat dengan kemasan krom berkilat, rim berjejari jenis tanpa tiub (tubeless spoked wheels), pemegang jenis mini-ape, serta posisi pemijak kaki kawalan tengah (mid-mount foot controls). Tangki bahan apinya pula berkapasiti 18.9 liter dan dihiasi dengan jalur warna bendera Amerika Syarikat.

Nadi Kuasa Milwaukee-Eight 117
Dari segi prestasi, Super Glide dikuasai oleh enjin Milwaukee-Eight 117 Classic V-twin berkapasiti 1,923 cc. Enjin gergasi ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 98 hp pada 4,600 rpm dan tork padu mencecah 163 Nm. Kuasa tersebut dihantar melalui kotak gear enam kelajuan Cruise Drive, yang digabungkan bersama sistem pacuan utama jenis rantai (chain primary drive), pacuan akhir jenis tali sawat (belt final drive), serta klac basah 10-plat.

Teknologi dan Bantuan Tunggangan Moden
Walaupun berimej retro, ia tetap dilengkapi ciri moden. Di atas tangki minyak, terdapat meter bulat analog untuk paparan kelajuan (speedometer) yang digabungkan bersama paparan RPM digital (tachometer). Bagi memastikan keselamatan penunggang, H-D turut memuatkan pelbagai sistem bantuan elektronik seperti:
-Cruise control
-Traction control dan sistem brek ABS
-Sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
-Slip control untuk mengelakkan roda belakang terkunci
-Satu port pengecasan USB Type-C untuk kemudahan peranti elektronik anda.

Sistem Brek dan Suspensi
Sistem hentian Super Glide menggunakan brek cakera hidraulik tunggal untuk roda depan dan belakang. Roda hadapan dipadankan dengan angkup (calliper) empat piston bersama cakera saiz 300 mm, manakala roda belakang menggunakan angkup jenis terapung dua piston dengan cakera saiz 292 mm.

Tugas menyerap hentakan pula diserahkan kepada fork teleskopik hadapan berdiameter 49 mm dengan jarak pergerakan (travel) 130 mm. Bahagian belakangnya pula menggunakan sistem monoshock yang boleh dilaraskan prabebannya (preload adjustment) dengan jarak pergerakan 86 mm.

Spesifikasi Roda dan Dimensi
Jentera ini menggunakan rim bersaiz 19 inci di bahagian hadapan yang dibalut tayar 100/90, manakala rim belakang bersaiz 16 inci dengan tayar 150/80. Untuk keselesaan tunggangan, ketinggian pelana ditetapkan pada paras 665 mm, manakala berat keseluruhan motosikal ini adalah 298 kg apabila tangki minyak diisi penuh dan sedia untuk ditunggang.