“Saya nak bagi sesuatu kepada netizen di luar sana. Hanya ciptakan satu nama untuk jentera Honda C70 CDI saya ini, dan anda akan menerima sesuatu penghargaan daripada saya,” ujar Kojeq ketika menyuarakan hasrat kepada penulis.
“Kalau boleh, RoadStar atau media permotoran yang lain, tolong uar-uarkan hasrat dan harapan saya dan ia satu pengkongsian saya terhadap peminat atas penghargaan yang mereka tunjukkan selama ini,” ujar personaliti yang menghiasi ruangan Show-Off Majalah RoadStar kali ini.
Kisah Kojeq atau nama sebenarnya Hishamuddin Md Rashid menjelajah 12 negeri di Semenanjung Malaysia bermodalkan motosikal klasik sedikit masa dahulu menjadi viral sehingga namanya menjadi sebutan dan dikenali ramai peminat jentera dua roda tempatan.
Jika anda mengharungi perjalanan sama ada ke Utara atau ke Selatan Tanahair menerusi lebuh raya atau di mana lebuh raya yang anda lalui, gambar Kojeq pastinya terpampang dengan latar belakang iklan bateri Koyoko menghiasi papan iklan tersebut.
Kecekalan dan ketabahan Kojeq mengharungi perjalanan sejauh 2,000kilometer dan singgah di 12 negeri Semenanjung telah mengangkat namanya selaku penunggang motosikal klasik yang berjaya mengharungi cabaran getir tersebut.
Bukan sahaja aktiviti dan wajahnya terpampang sama ada di akhabar tempatan atau iklan bateri Koyoko malah impak Kojeq turut dapat dilihat apabila ‘kantung’ kenalan dalam Facebook miliknya juga turut mencapai tahap maksima.
Bercerita mengenai jentera Honda ‘Petak’ C70 yang telah berwajah baharu, Kojeq mengakui bahawa dia mempunyai citarasa klasik yang cukup mendalam. Hanya dengan motosikal ‘klasik’ dia seolah-olah bebas dari segala permasalahan.
“Jentera ini sudah berusia hampir 35 tahun dan saya beli hanya sekitar RM1 ribu sahaja. Namun untuk membaik pulih motosikal ini saya telah mengeluarkan modal sejumlah RM4 ribu untuk menjadikan ia sehingga yang anda lihat kini.
“Banyak komponen yang terpaksa ditukar ganti termasuklah enjin. Ia bukanlah 100 peratus asli, namun saya masih mengekalkan beberapa keaslian antaranya coverset, bahagian lampu depan dan belakang dan juga penampilan yang dianggap sesuai dengan motosikal itu,” ujar Kojeq lagi.
Menurutnya, motosikal ini diserahkan kepada anaknya, Muhammad Danish untuk dijaga sepenuh jiwa dan Kojeq berharap motosikal menjadi tatapan umum memandangkan selepas ini tiada lagi koleksi sebegini yang mampu ditatap oleh golongan muda.
“Saya lihat trend anak muda sekarang cukup berlainan. Bukan sahaja motosikal moden yang mereka dambakan, bahkan koleksi klasik sebegini turut memikat hati mereka.
“Perkembangan sebegini merupakan satu usaha positif dan saya percaya ramai anak muda di luar sana juga mungkin memiliki hobi dan keinginan yang sama untuk mengumpul koleksi motosikal klasik atau lama sebegini,” ujar Kojeq.
NAMA KOJEQ ‘MELEKAT’ HINGGA KINI
Menceritakan kembali asal usul melekatnya nama Kojeq, kisahnya bermula dari berkaitan alam rumahtangganya. Ia bermula dari hasratnya untuk menimang anak lelaki yang masih belum dimakbulkan oleh Pencipta.
Sejak dari itu, impian Kojeq tidak pernah padam dan sentiasa berdoa untuk memiliki zuriat lelaki dalam keluarga yang dibinanya sehingga ia bernazar untuk membotakkan kepalanya jika harapanya tertunai.
Terdahulu, Kojeq sudah memiliki sepasang anak perempuan iaitu Nor Nadhirah dan Nor Ilyana yang ketika ini sedang menuntut di IPTA Utara Semenanjung. Namun seperti mana fitrah seorang bapa, beliau berkeinginan untuk memiliki anak lelaki sebagai warisnya. Dan salah satu dari nazarnya adalah membotak kepala sekiranya permintaan ditunaikan olehNya.
Al kisah dan dipendekkan cerita, permintaan Kojeq dimakbulkan olehNya. Dan bagi memenuhi permintaan dalam nazarnya, Kojeq tekad untuk membotak kepalanya sehingga ke hari ini.
Sejak dari itu, penampilan Kojeq berubah. Dari seorang lelaki berambut, kini penampilannya tanpa rambut meletakkan diri agak menjengkelkan bagi sesetengah rakannya. Ada yang mengutuk manakala tidak kurang yang melihat penampilan Kojeq ketika itu agak ‘menggerunkan’ dan sedikit lucu.
“Kalau ikutkan saya ini jenis berbeza dan penampilan luaran. Raut wajah je nampak bengis tapi seperti kata orang lain, dalam hati tetap ada taman berbunga-bunga. Itulah sifat saya secara realitinya yang suka berkawan dengan semua orang.
“Nama Kojeq timbul kerana nama itu pernah dikaitkan dengan satu watak pelakon berkepala botak yang disifatkan seorang yang kejam dan bengis. Namun berbeza dengan saya, jauh sekali,” ujar Kojeq yang turut ketawa ketika mengimbas kembali momen tersebut.
Menurutnya, panggilan Kojeq yang diucap oleh rakan-rakan sekampung satu ketika dahulu kini sudah sebati dengan dirinya dan kerana nama itulah dia kini dikenali dan berharap catatan kehidupannya menjadi pedoman kepada penunggang muda yang lain.
JADI DUTA KOYOKO
Kehebatan anak jati Taiping menjelajah ke seluruh pelusuk Semenanjung Malaysia mencetuskan fenomena kepada peminat dunia dua roda ketika itu. Mungkin ramai yang beranggapan menjelajah dengan menaiki motosikal adalah perkara biasa bagi mereka yang tegar dalam dunia permotoran.
Namun kisah Kojeq bermotosikal ke seluruh negeri di Semenanjung agak berbeza dengan penunggang lain. Dia menggunakan jentera klasik, Honda S90 keluaran tahun 1974 untuk mencipta sensasi bersejarah itu.
Bukan hanya sekali, malah bapa kepada tiga anak itu sudah melakukan ekpedisi bermotor secara solo sebanyak 2 kali. Kali pertama iaitu pada tahun 2016 dan kali terakhir adalah pada 2023 lepas.
Katanya, antara dua perjelajahan solo yang dilakukan, ekpedisi kali kedua yang dijayakannya selama tujuh hari dengan jarak 2,000 kilometer menimbulkan sedikit cabaran baginya.
“Jelajah solo kali kedua bagi saya cukup mencabar kerana motosikal klasik saya kerap rosak, selain berdepan cuaca ekstrem berikutan musim tengkujuh.
“Antara momen kerosakan yang dihadapi adalah ketika shaft lengan motosikal patah, saya juga hilang kawalan dan terbabit kemalangan. Namun saya bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi oleh penulis baru-baru ini.
SEKILAS FAKTA
Pemilik : Hisyamuddin Md Rashid (Kojek)
Umur : 54 Tahun
Asal : Taiping, Perak
Kerjaya : JKR Taiping
Pasangan : Nor Ashikin Hassan
Status : Berkeluarga – 3 Anak
Nor Nadhirah
Nor Ilyana
Muhammad Danish
Duta : Bateri Koyoko
Jentera : Honda C70 CDI (petak)
Tahun : 1989
Warna : Hijau
Enjin EX5 : Dream
SPESIFIKASI
Spec-56
4 Speed
Head Block : Taikom
Meter C70 : Digital
Stripe : Custom Indon
Karburator : Honda Wave 125
Ekzos : Honda EX5 (operate pipit)
Raga Depan : EX5
Fork Depan : EX5
Sportrim : sp 522 1.4 depan /belakang
Tayar Depan / Belakang : saiz 70/90 (Trazano Koyoko)
Absorber : Ohlins gas
Swing Arm : EX5 Dream
Peti Rantai : EX5 Dream
Mudguard Depan : EX5
Kos Restore : RM4K
Warna Asal : Navy Blue
Pemilik Asal : Warga Taiping
Pemilik Terkini : Mohammad Danish Hishamuddin – (Kojeq Junior)
Garage Restore : UT Garage Taiping
Custom Ekzos : Betz Exzos Taiping